Remaja perempuan simpan dadah dalam rumah

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan polis bersama dadah disyaki heroin seberat 325 gram bernilai lebih RM10,000 dalam pemeriksaan sebuah rumah di Tanjung Rambutan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner R Ravi Chandran berkata, penahanan remaja terbabit dilakukan hasil siasatan terhadap penahan seorang lelaki di sebuah bengkel kereta berhampiran.

“Pada jam 2 pagi, sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Perak membuat serbuan di sebuah bengkel kereta di Taman Tanjung Perdana, Tanjung Rambutan dan menahan suspek lelaki berusia 34 tahun.

“Kita juga berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 2.54 gram. Lanjutan dari tangkapan itu dan dipandu arah oleh suspek membawa pemeriksaan rumah suspek wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis menemui enam peket plastik disyaki dadah yang sama dalam rumah terbabit.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kegiatan dadah dan jenayah selain positif methamphetamine menerusi ujian urin.

“Suspek wanita itu pula negatif ujian urin. Polis turut menyita sebuah kereta milik suspek bernilai RM14,500 dan merampas dadah keseluruhan bernilai RM11,375,” katanya.

Ravi Chandran berkata, kedua-dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 yang membawa hukuman mandatori, gantung sampai mati

Artikel Berkaitan: