UMNO Perak akui terima dana RM25 juta daripada Najib

Mohd Khusairi bersama pimpinan UMNO negeri menunjukkan laporan polis yang dibuat hari ini.
Mohd Khusairi bersama pimpinan UMNO negeri menunjukkan laporan polis yang dibuat hari ini.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak mengaku ada menerima dana politik daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM25 juta pada 2013 lalu.

Bekas Setiausaha UMNO negeri, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, dana itu diterima dalam bentuk cek secara peribadi daripada Najib sendiri yang ketika itu Presiden UMNO.

Bagaimanapun menurutnya, adalah menjadi perkara biasa bagi parti politik menerima sumbangan terus daripada presiden bagi tujuan politik dan kesejahteraan umum.

"Selaku UMNO negeri dan UMNO di peringkat bahagian, bos kami adalah presiden jadi jika ada apa-apa masalah sudah tentulah kita akan adukan hal ini kepada presiden.

"Perkara itu bukan satu kesalahan baik dalam politik atau undang-undang negara di mana parti politik tidak dibenarkan menerima dana politik terutamanya daripada presiden parti sendiri," katanya selepas membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Balai Polis Sungai Senam hari ini.

Laporan itu antara lain meminta polis melakukan pengawasan dan mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang didakwa menghina mahkamah dan menjatuhkan imej suruhanjaya itu sebagai sebuah institusi yang sepatutnya bebas.

Mohd Khusairi pada sidang media hari ini.
Mohd Khusairi pada sidang media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerima dana 1MDB bawah RM500,000 diburu

Artikel Berkaitan:

Pulang dana 1MDB: 42 pemimpin UMNO sepakat lapor polis

Ia susulan notis kompaun yang dikeluarkan SPRM kepada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sedangkan perkara itu masih di peringkat perbicaraan mahkamah.

Mohd Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, pihaknya tampil mengetuai laporan polis berikutan penerimaan cek berkenaan berlaku pada ketika beliau menjawat jawatan setiausaha UMNO negeri.

Katanya, UMNO Perak telahpun menerima notis kompaun daripada SPRM pada 11 Oktober lalu yang menuntut bayaran RM62.5 juta atas tuduhan menerima cek daripada Najib berjumlah RM25 juta terbabit.

"Mereka mengaitkan duit itu berpunca dari sumber haram iaitu daripada pengubahan wang 1MDB sedangkan kes 1MDB ini masih lagi dibicarakan di mahkamah, belum ada penyelesaian apatah lagi keputusan.

"SPRM adalah satu badan bebas dan mempunyai integritinya sendiri, namun apabila notis seumpama ini diberikan, ia satu tindakan yang boleh dikatakan sebagai 'rule of the jungle' (peraturan rimba)," katanya.