Berikan Jin Wei ruang untuk pulih: Presiden BAM

Goh Jin Wei. FOTO: BERNAMA
Goh Jin Wei. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei selamat menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya sebagai usaha menyelamatkan kariernya, semalam.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pemenang pingat emas Sukan Sea 2017 itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan.

“Kami meminta orang ramai untuk memberikan beliau ruang dan masa sebanyak mungkin ketika masa pemulihan ini kerana kami yakin beliau akan kembali dengan lebih kuat lagi.

“Anda sentiasa berada dalam ingatan kami, Jin Wei!,” katanya dalam hantarannya pada akaun Instagramnya hari ini.

Mohamad Norza telah membuat hantaran gambar ketika beliau melawat Jin Wei pagi ini.

Sebelum ini dilaporkan juara bertahan itu telah digugurkan daripada skuad Sukan Sea Filipina dan juga tidak akan meneruskan usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo, selepas tidak menyertai beberapa kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun itu menarik diri daripada menyertai Terbuka Denmark di Odense minggu ini dan juga Terbuka Perancis di Paris (22-27 Okt).

Jin Wei bergelut dengan masalah kesakitan dalam perutnya itu sejak Januari tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: