X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan Pembangunan Kuala Lumpur perlu visi jelas, dikongsi bersama

Perancangan Kuala Lumpur berasaskan komponen sistem Pelan Struktur yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).
A
A

PERANCANGAN pembangunan di Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan sebuah bandar raya utama di rantau ini memerlukan suatu visi yang jelas dan perlu dikongsi bersama oleh semua pihak berkepentingan (stakeholders) dalam bandar raya ini.

Visi itu penting untuk memberikan hala tuju dengan kefahaman yang seragam kepada semua pihak termasuk peniaga, pelabur, badan-badan profesional, pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan.

Perancangan Kuala Lumpur berasaskan komponen sistem Pelan Struktur yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Akta itu memerlukan Datuk Bandar menyediakan pelan pembangunan bagi memandu pembangunan di Kuala Lumpur. Pelan Pembangunan ini mengandungi dua pelan utama iaitu Pelan Struktur dan Pelan Tempatan.

Pelan Tempatan juga boleh berada dalam bentuk pelan kawasan tindakan. Pelan pembangunan itu menggantikan Pelan-pelan Pembangunan Lengkap 1039, 1040 dan 1041 yang telah diwartakan mengikut peruntukan Ordinan No. 46 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Apakah Pelan Struktur?

Pelan Struktur merupakan Kenyataan Bertulis yang mengandungi matlamat-matlamat dan objektif-objektif am, dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang bersangkutan dengan pembangunan, gunatanah, perancangan sosial, ekonomi dan fizikal serta pengurusan lalulintas di dalam Kuala Lumpur.

Kenyataan Bertulis itu akan disertai gambar rajah, keterangan-keterangan dan bahan-bahan huraian bagi membantu memahami dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

Berbeza dengan Pelan Pembangunan Lengkap yang dahulu, Pelan Struktur tidak menunjukkan atau menentukan secara terperinci kegunaan tiap-tiap bidang tanah yang terdapat dalam kawasan pelan tersebut.

Cadangan fizikal terperinci akan dimasukkan pada peringkat pelan pembangunan seterusnya iaitu, pelan tempatan.

Pelan Struktur mempunyai jangka masa 20 tahun dan hendaklah dikaji semula dari semasa ke semasa. Cara itu membolehkan pengubahsuaian selaras dengan perubahan keadaan pembangunan dan masalah-masalah dihadapi Kuala Lumpur.

Apakah Pelan Tempatan?

Pelan Tempatan Kuala Lumpur mementingkan pelaksanaan dasar-dasar dan cadangan-cadangan Pelan Struktur yang lebih terperinci.

Pelan-pelan itu merangkumi kawasan kecil atau luas dan menyentuh pelbagai aspek perancangan serta boleh disediakan dalam bentuk Pelan Unit Perancangan, Pelan Kawasan Tindakan dan Pelan Perkara.

Pelan tempatan juga akan memperuntukkan warga kota suatu perspektif masa hadapan secara lebih komprehensif dan terperinci.

Pelan itu akan menyediakan beberapa garis panduan perancangan terperinci untuk pemilik pemilik dan pemaju-pemaju tanah bagi pembangunan tapak-tapak mereka.

Pelan tempatan untuk Kuala Lumpur disediakan mengikut peruntukan Seksyen 13(2) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dan merupakan suatu alat perancangan yang sangat penting bagi Kuala Lumpur selepas Pelan Struktur Kuala Lumpur.

Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), pengubahan Pelan Tempatan boleh dilaksanakan selepas diwartakan.

Ia merujuk kepada peruntukan seksyen 17 (1) di mana 'Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh bila-bila masa membuat cadangan-cadangan untuk mengubah, menambah, menyemak, memansuh atau menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada Pelan tempatan itu'.

Status pelan pembangunan Kuala Lumpur

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerbitkan dua Pelan Struktur Kuala Lumpur dan pelan pertama diwartakan pada 1984, manakala pelan kedua diwartakan pada 2004 serta dikenali sebagai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL 2020).

PSKL 2020 telah hampir tamat tempoh perlaksanaannya iaitu pada penghujung 2020.

Penyediaan semakan PSKL 2020 perlu dibuat memandangkan sebahagian dasar PSKL 2020 sedia ada perlu disemak disebabkan pembangunan dan perubahan ekonomi yang pesat dan pengenalan dasar-dasar terkini di peringkat negara dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.

Semakan PSKL 2020 yang baharu perlu disediakan bagi memandu pembangunan Kuala Lumpur untuk jangka masa tahun perancangan akan datang dan dijangka untuk diguna pakai pada awal 2021.

Manakala, Pelan Tempatan Kuala Lumpur juga dikenali sebagai Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020). Pelan ini telah diwartakan pada 30 Oktober 2018 dan mempunyai tempoh pelaksanaannya sehingga penghujung tahun 2020.

Dalam tempoh perlaksanaan PBRKL 2020, DBKL menerima beberapa permohonan perubahan untuk meminda zon guna tanah dan intensiti daripada pihak pemilik tanah dan pemaju.

Proses hebahan awam bagi perubahan PBRKL 2020 yang pertama akan di adakan pada awal November 2019 dan pada masa sama DBKL juga di dalam proses menyediakan pelan tempatan baharu dikenali sebagai Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 yang bermula awal 2019.

Bagi penyediaan semakan PSKL dan PBRKL 2020, proses kajian akan bermula dengan penyediaan Laporan Awal, Laporan Penemuan, seterusnya dengan penghasilan Draf Awal Semakan PSKL dan PTKL serta terakhir dengan Draf Akhir semakan PSKL dan PTKL.

Bagi setiap peringkat penyediaan laporan-laporan tersebut akan diadakan bengkel dengan penglibatan awam bagi memberi ruang kepada kumpulan sasar untuk menyumbang hasrat, pendapat. Ia juga sebagai medium komunikasi dengan DBKL sepanjang proses penyediaan pelan tersebut.

Seterusnya, pembentangan dapatan daripada laporan-laporan tersebut akan melalui beberapa peringkat mesyuarat jawatankuasa yang ditubuhkan.

Untuk memberi pandangan dan cadangan serta idea bagi 'Kita Rancang Kuala Lumpur 2040', orang awam boleh menyuarakannya dengan menghantar email ke [email protected] atau melalui Facebook Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!