Kerajaan atur R&D bangun senjata ATM

Mohamad Sabu di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamad Sabu di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan kini sedang melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara usahasama strategik bagi membangunkan senjata untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seterusnya untuk potensi pemasaran.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, usaha itu akan meningkatkan keupayaan pemain industri pertahanan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada industri antarabangsa.

Menurutnya, usahasama yang dijalankan ATM bersama Pusat Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (Stride) dan Universiti Pertahanan Awam itu membabitkan projek pembangunan senjata mortar 120mm.

"Prototaip daripada projek R&D ini akan diberikan kepada ATM dan agensi keselamatan terpilih untuk digunakan bagi penilaian kualiti dan prestasi.

"Akhirnya setelah menepati piawaian serta kehendak pengguna, prototaip ini akan ditawarkan kepada syarikat pertahanan terpilih bagi tujuan penghasilan pemasaran," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH -Tampin) yang ingin tahu sejauh manakah tahap teknologi senjata buatan Malaysia, adakah Malaysia masih bergantung pada buatan negara luar dalam membekalkan senjata dan apakah ada usaha-usaha yang dilakukan oleh kementerian dalam mengurangkan kebergantungan perbekalan senjata dari negara luar.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, usaha yang dibuat itu itu melihat kepada kemampuan industri persenjataan negara kini yang diakui masih terhad kepada pemasangan dan penghasilan sebahagian daripada komponen senjata rifle yang dibekalkan kepada ATM, dengan rekaan milik syarikat persenjataan antarabangsa.

"Ini dilihat berpunca daripada keupayaan R&D syarikat yang terhad dan masih sedang berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah permintaan yang mencapai 'return of investment' (ROI) dan kegagalan syarikat tempatan untuk meyakinkan negara luar untuk membeli senjata buatan Malaysia juga menjadi skop pasaran industri senjata negara kecil.

"Ia sekali gus menyukarkan pihak syarikat untuk melakukan pelaburan bagi meningkatkan fasiliti dan kepakaran bagi menghasilkan senjata," katanya.