Lokman Adam didakwa mengapi-apikan orang awam

Lokman (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Lokman (dua dari kanan) ketika hadir di Mahkamah Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini hari ini atas pertuduhan mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain dua bulan lalu.

Bagaimanapun, Lokman mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, Lokman didakwa membuat kenyataan dengan niat mengapi-apikan orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang awam lain menerusi laman sosial YouTube atas nama profil 'Lokman Adam' pada 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam, 12 Ogos lepas.

Video selama tujuh minit itu kemudian telah dilihat pada 13 Ogos lalu di Bangunan Menara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Lokman didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.

Bagaimanapun Lokman yang diwakili peguam, N Logendran meminta agar wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan menganggur sejak 17 bulan lalu selepas dipecat dari jawatannya sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan setelah kerajaan bertukar.

Logendran juga memohon supaya mahkamah mengambil kira mengenai tertuduh yang turut menanggung 11 anak dan ada di antaranya merupakan anak angkat warga Rohingnya dan Indonesia termasuk tujuh di universiti, dua di sekolah menengah, tiga di sekolah rendah, seorang di tadika serta bongsu berumur 6 bulan.

Artikel Berkaitan:

Logendran berkata, anak guamnya itu juga mengalami masalah kencing manis kronik serta penglihatan kabur dan baru sahaja keluar dari hospital selepas masuk wad sejak dua minggu lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.