Dua anggota polis didakwa terima rasuah

Muhammad Rayyan John (depan) dan Stenley Blasius diiringi pegawai SPRM keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki Mac lalu.
Muhammad Rayyan John (depan) dan Stenley Blasius diiringi pegawai SPRM keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki Mac lalu.
A
A
A

KUANTAN - Dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas lima tuduhan menerima suapan RM6,500 daripada seorang lelaki pada Mac lalu.

Muhammad Rayyan John Abdullah,30, dan rakan sekerjanya, Stenley Blasius, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama atas lima pertuduhan dengan memperoleh suapan berjumlah RM6,500 sebagai dorongan untuk mengurangkan berat dadah jenis syabu yang dirampas polis daripada lelaki tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam cawangan Pekan pada jam 11 malam, 7 Mac lalu.

Muhammad Rayyan John dan Stenley didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai atau jumlah suapan atau mana-mana lebih tinggi.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Saifuldin Ab Rahman mewakili kedua tertuduh meminta agar wang ikat jamin dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam hujahnya, Mohd Saifuldin berkata, kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan dengan pendapatan bersih sekitar RM1,000 sebulan.

"Saya mohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dan kes disebut semula 13 November depan.