X

Kindly register in order to view this article
!

Kotex martabatkan batik karya artisan Batik Boutique

PENGGUNAAN material batik warna terang menyuntik mood segar dan ceria.
A
A

DALAM memartabatkan batik rekaan tempatan, jenama Kotex mengambil inisiatif mempamerkan keistimewaan Batik Boutique pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Seleksi fabrik batik hasil kreativiti artisan Batik Boutique diterjemahkan menjadi helaian busana sedia pakai rekaan pereka fesyen baharu, Seza Zulkeple.

Secara ringkasnya, Batik Boutique merupakan sebuah perusahaan sosial bermatlamat meningkatkan kemahiran golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurut Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark, Frenissa Lagman, Kotex begitu komited memacu perubahan wanita muda khususnya untuk menepis persepsi ketinggalan zaman termasuk meningkatkan keyakinan diri memperoleh kejayaan berganda.

“Justeru, menerusi Kotex #SHECAN Fund, kami (Kotex) mengambi inisiatif bekerjasama dengan Batik Boutique dan KLFW 2019 termasuk menyediakan platform terbaik dalam usaha menyokong tradisi rekaan batik yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Lebih mengujakan apabila Seza berjaya menghasilkan koleksi busana batik anggun, sekali gus menyampaikan mesej bahawa fabrik (batik) ini kekal relevan dari semasa ke semasa,” jelas beliau dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

Turut hadir pada pertunjukan fesyen Kotex Limited Edition Batik x Seza Zulkeple KLFW 2019 ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pengasas Batik Boutique, Amy Blair.

BARISAN model tampil anggun dalam koleksi busana rekaan Seza yang menggunakan batik daripada Batik Boutique pada KLFW 2019 di Kuala Lumpur Ogos lalu.
BARISAN model tampil anggun dalam koleksi busana rekaan Seza yang menggunakan batik daripada Batik Boutique pada KLFW 2019 di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Dalam pada itu, Frenissa turut menyifatkan Seza seorang pereka muda yang kreatif kerana mampu menzahirkan inti pati batik moden dan kontemporari dalam satu koleksi pakaian sedia pakai yang minimalis, tetapi menawan.

Mengulas mengenai kolaboratif antara Kotex dan Seza, Amy meluahkan rasa terharu dan teruja melihatkan batik karya kreatif daripada artisan Batik Boutique dipersembahkan di pentas gah KLFW 2019.

Secara tidak langsung, inisiatif Kotex telah membuka mata banyak pihak untuk lebih menghayati kreativiti wanita yang berkerja di belakang tabir menghasilkan corak dan cetakan batik.

Menurut Seza pula, koleksi Batik Kotex yang hadir dalam 15 pakaian sedia pakai menerapkan cetakan batik sebagai signatur utama. Ia direka khas untuk wanita kontemporari yang berani bergaya dalam persalinan busana menggunakan warna terang seperti merah, jingga, biru dan hitam.

“Rekaan koleksi Batik Kotex tersebut adalah simbolik pada peranan wanita yang sentiasa menyokong antara satu sama lain ketika mengatur langkah untuk mencapai impian masing-masing.

“Dari segi warna, pemilihan nuansa terang mencerminkan visi dan misi memperkasakan wanita. Lagipun, rona tersebut membantu menerapkan unsur-unsur positif dalam setiap rekaan saya,” tutur Seza.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!