Bantuan kepada sesiapa boleh diberikan dengan pelbagai cara

Doa
JIKA tidak mampu menghulurkan pertolongan dalam bentuk kewangan mahupun tenaga, bantulah dengan cara berdoa agar ALLAH SWT membantu meringankan beban mereka yang dalam kesusahan.
A
A

APABILA bercakap tentang doa, ramai yang ingat berdoa hanyalah untuk kebaikan diri kita dan orang-orang di sekeliling kita.

Benar, kita digalakkan untuk berdoa memohon apa sahaja kepada ALLAH SWT.

Jika permohonan kita diluluskan, maka apa yang dihajatkan dalam doa tadi akan dimakbulkan Sang Pencipta.

Namun, ramai yang barangkali terlupa bahawa berdoa juga merupakan salah satu bentuk bantuan yang kita boleh hulurkan kepada mereka yang memerlukan.

Adakalanya kita mungkin tidak mampu membantu dari segi kewangan mahupun tenaga apabila mereka memerlukan pertolongan, maka dengan doalah kita boleh membantu mereka.

Bagaimana jika orang yang ditimpa kesusahan itu berada jauh daripada kita seperti yang berlaku ke atas rakyat Palestin dan Syria?

Barangkali untuk membantu dari segi kewangan tiada masalah kerana banyak tabung ditubuhkan untuk membantu mereka.

Dari segi tenaga, mungkin agak sukar untuk negara terbabit, namun berdoa sebenarnya juga dikira sebagai satu bentuk bantuan.

Mungkin ada yang beranggapan benarkah doa sahaja boleh membantu meringankan beban yang ditanggung mereka?

Hakikatnya, Rasulullah SAW sendiri melakukan perkara sedemikian sekiranya baginda tidak mampu membantu orang yang mendapat musibah dengan tulang empat keratnya.

Ini kerana doa merupakan satu-satunya 'senjata' orang Mukmin yang boleh mengubah keadaan jika diizinkan oleh ALLAH SWT.

Pada suatu hari, ada seorang hamba ALLAH mendapati satu dahan pokok yang merentasi laluan orang ramai.

Dia pun bertekad: "Demi ALLAH, aku akan mengalihkannya supaya tidak menyakitkan (mengganggu) orang Islam. Hasilnya dia dimasukkan ke syurga kerana amalannya itu." (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda: "Jangan kamu memandang remeh terhadap kebaikan sekalipun hanya dengan kamu menuang air baldi ke dalam bekas orang yang meminta minuman. Ataupun hanya ketika kamu bertemu rakan kamu, kamu tersenyum kepadanya." (Riwayat Bukhari)

Hadis itu jelas menganjurkan kita supaya meringankan tulang untuk membantu mereka yang mengalami musibah atau kesulitan.

Jika ia berlaku di hadapan mata kita, ada baiknya kita menghulurkan tenaga.

Bagaimanapun, jika berada jauh, bantulah dari segi kewangan, namun sekiranya tidak mampu juga, sekurang-kurangnya berdoalah kepada ALLAH SWT supaya orang yang ditimpa musibah dipermudahkan segala urusannya.

Dengan doa daripada ramai orang, mungkin ALLAH SWT akan mengabulkannya.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)