Rujuk Perlembagaan parti sebelum beri cadangan

Annuar Musa & Reezal Merican
Annuar Musa & Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Umno dinasihatkan melihat semula Perlembagaan parti dalam membuat sebarang cadangan.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua anggota parti itu boleh bebas membuat cadangan asalkan ia berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan parti.

"Semua orang bebas membuat cadangan dan saya punya syor adalah, seelok-eloknya kajilah berdasarkan perlembagaan parti," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan Bendahari Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday supaya Ahli Majlis Tertinggi sebulat suara memberikan mandat penuh kepada Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai pemangku Presiden dan bukan sekadar Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden.

Md Jais berkata, mandat itu harus diberikan kepada Mohamad untuk memberikan kuasa penuh kepadanya menjalankan tanggungjawab dalam memulih dan memperkasakan Umno mulai tahun ini.

Ditanya tentang perbincangan perkara itu, Annuar bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebelum ini, mesyuarat sudah diadakan sejurus selepas Mohamad diamanahkan menggalas tugas-tugas Presiden Umno.

Bagaimanapun, katanya, bagi cadangan tentang jawatan pemangku Presiden Umno itu, ia memerlukan satu lagi sesi perbincangan lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak boleh beri respon dulu mengenai perkara ini buat masa ini," katanya.

Mengikut Perlembagaan Umno, Fasal 9.8.1 menyatakan, tugas Presiden adalah menjadi pemimpin utama dan bertanggungjawab menjaga kesempurnaan perjalanan parti serta melantik setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan, pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan negeri dan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, tugas Presiden juga turut memanggil dan mempengerusikan sidang majlis tertinggi dan melantik tidak lebih 12 orang Ahli Majlis Tertinggi mengikut Fasal 9.2.8.

Manakala tugas Timbalan Presiden berdasarkan Fasal 9.8.2 adalah membantu tugas-tugas Presiden dan mempengerusikan sidang-sidang majlis tertinggi semasa ketiadaan Presiden.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid serah tugas kepada Tok Mat]

Pada 18 Disember lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penyerahan tugas memimpin parti kepada Mohamad susulan kemelut dihadapi parti ketika itu dan beliau berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan.