Nasi kandar Penang dan keistimewaan ayam goreng

No Image Caption
A
A
A

“KALAU hang pi Penang, hang tak pekena nasi kandaq, lawatan tak sempurna tau...,” kata seorang sahabat Merak Jalanan seminggu sebelum Merak Jalanan ke Pulau Mutiara.

Merak Jalanan yang sudah hampir 15 tahun tidak menjejakkan kaki ke pulau itu terus mencatatkan kata-kata sahabat dalam peta minda.

Biarpun kunjungan ke Pulau Pinang untuk sesi urusan rasmi namun pemburuan nasi kandar termasuk dalam ‘menu utama’.

Tiba di Georgetown sudah lewat malam, apa lagi Nasi Kandaq Beratuq jadi pilihan pertama kerana kedainya dibuka bermula jam 10 malam.

Nasi kandar ayam goreng, telur masin dan telur sotong jadi menu pertama. Perghhhh hingga menjilat jari dan licin berkilat pinggan Merak. Memang sedap!

Senyuman kekenyangan jadi memori indah hari pertama di pulau yang dibuka Kapten Francis Light pada 1786 itu.

Keesokannya, Merak Jalanan meneruskan pemburuan nasi kandar dengan beratur pula di kedai Deen Maju Nasi Kandar.

Walaupun cuaca agak hangat, Merak gigih beratur semata-mata untuk menikmati salah satu nasi kandar Penang yang terkenal.

Artikel Berkaitan:

Hidangan yang Merak pilih pun sama ketika makan di Nasi Kandar Beratur.

Selepas 20 minit beratur akhirnya dapatlah nasi kandar yang diidamkan. Memang terangkat. Kuahnya pekat lekat, ayam gorengnya sesedap rasa. Sekali lagi misi Merak melicinkan pinggan berjaya!

Malam itu pula sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur, Merak Jalanan menuju ke Penang Road untuk melengkapkan siri ketiga misi memburu nasi kandar.

Nasi Kandar Line Clear jadi destinasi ketiga untuk misi mencuba makanan signature Pulau Pinang itu.

Ayam goreng masih jadi pilihan untuk lauk nasi kandar Merak Jalanan di Line Clear.

Kenapa ayam goreng jadi menu utama? Sebenarnya Merak Jalanan temukan satu dapatan: setiap jenama nasi kandar memiliki rasa ayam gorengnya tersendiri.

Rasa rempah, masin dan ramuan ayam goreng berbeza mengikut jenama nasi kandar. Namun yang pasti ia sedap dalam cara tersendiri.