Pak Din guard goncang dunia

A
A
A

SILA jawab dua soalan ini. Soalan pertama, siapakah orang pertama yang biasa anda akan jumpa dulu sewaktu masuk ke kampus atau kawasan sekolah anda?

Soalan kedua, siapakah orang pertama yang biasanya anda akan beri salam dulu bila anda masuk kampus atau kawasan sekolah?

Kalau jawapan anda kepada soalan pertama ialah guru dan soalan kedua juga ialah guru, maka anda termasuklah dalam kalangan mereka yang tidak nampak kewujudan pegawai keselamatan atau ‘pak guard’ yang setiap hari menjaga di pintu masuk ke kawasan kampus atau sekolah.

Anda tidak nampak kewujudan pak guard bukan kerana mereka tak wujud tetapi kerana mereka tidak penting bagi kamu.

Dalam masyarakat yang bersifat peka pada status sosial ini, pak guard menjadi seolah-olah sekadar aksesori sahaja dalam sebuah institusi.

Bila sebut sahaja nama sekolah atau universiti, hanya yang berstatus ‘guru’ atau ‘pensyarah’ sahaja yang tergambar di minda.

Bahkan ada failasuf yang mendakwa pendidikan yang didefinisikan sebagai ta’dib hanya khusus berkait dengan ilmuwan sahaja di universiti. Bahkan mereka berhujah bahawa mereka yang bukan akademik seperti ibu bapa hanya memelihara anak, bukan mendidik!

Maka, bila seseorang melangkah masuk ke zon ilmu yang benar-benar wujud di mata mereka hanyalah guru.

Artikel Berkaitan:

Pak guard bukan sebahagian dalam zon ilmu.

Saya lihat ramai mahasiswa tidak memberi salam kepada pak guard seolah-olah mereka tidak wujud.

Bahkan mereka tidak beri salam pun kepada cleaner yang membersihkan kelas, kantin dan hostel mereka seolah-olah cleaner ini seperti pak guard tidak wujud atau hanya sekadar aksesori.

Masalah sivik ini juga melanda pelajar agama sendiri! Ini bukan masalah tiada ilmu agama, tetapi pendidikan agama yang terlalu fokus pada halal haram, bukan pada nilai manusiawi.

Melihat masalah sivik ini yang berkait dengan peka manusiawi, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tegas memperjuangkan 4M melalui pendidikan sivik.

Pendidikan bukan sekadar menulis, membaca dan mengira tetapi perlu ada manusiawi. Pendidikan agama di sekolah, pondok dan universiti selama ini jelas gagal menanamkan sivik dan nilai-nilai manusiawi.

Masalah sivik dan manusiawi inilah yang Dr Maszlee berusaha tonjolkan walaupun berhadapan dengan tekanan politik agama dan rasisme yang kuat.

Kita lihat roh agama dan kaum terlalu di politikkan.

Isu sekarang ialah bukan tiada pendidikan agama tetapi bagaimana memanusiawikan pendidikan agama supaya agama tidak menjadi alat politik.

Usaha manusiawi Pak Din, iaitu Allahyarham Kamarudin Basri, 67, menjadi hero legenda di media.

Pak Din ialah pak guard di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas tetapi beliau terkenal juga di Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas kerana beliau begitu pemurah sehingga membantu juga sekolah yang bukan tugas rasminya.

Bila kita membaca komen netizen tentang jasa-jasa Pak Din, kita sedar perspektif kita tentang konsep pendidikan perlu berubah.

Pak Din bantu projek kami sampai masuk hutan cari prop kami, Pak Din bagi motivasi kepada kami selepas kami kena marah oleh guru, Pak Din berjenaka dengan kami untuk mulakan hari sekolah kami, Pak Din sanggup panjat bangunan sekolah, halau monyet, baiki kereta, menunggu bersama pelajar sampai ibu bapa datang jemput walaupun lewat dan pelbagai komen.

Ringkasnya, Pak Din ialah orang pertama dan terakhir sekali kami jumpa setiap hari di sekolah.

Pak Din ialah mentor hati yang luka, minda yang letih, jiwa yang berserabut.

Saya hanya pernah jumpa Pak Din beberapa kali di CBN 2 dan saya akan kenang ketegasannya dan juga senyumannya selama-lamanya.

Pak Din bukan ilmuwan tetapi beliau adalah sumber inspirasi kepada semua guru, pensyarah, pendakwah dan pelajar tentang makna mendidik. Pendidikan bukan sekadar melahirkan insan berilmu tetapi insan seperti Pak Din yang berakhlak sivik dan manusiawi yang tinggi.

Kementerian Pendidikan patut memberi penghormatan kepada pekerja seperti Pak Din yang bukan akademik tetapi memberi inspirasi sivik. Allahumma irhamhu.

*Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak