Bekas CEO 1MDB nafi terlalu percayakan Jho Low

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semalam menafikan beliau terlalu mempercayai ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Shahrol Azral, 49, berkata, pada masa itu, beliau tidak mempunyai sebab untuk tidak mempercayai Jho Low dan itulah sebabnya beliau tidak menyemak semula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan arahan tertentu yang disampaikan Jho Low.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-21 perbicaraan Najib melibatkan dana 1MDB.

Terdahulu, Muhammad Shafee menyoal saksi itu berkaitan tanggungjawabnya kerana dengan gaji yang diterimanya, beliau sepatutnya melakukan lebih lagi dengan menyemak semula dengan Najib daripada hanya menerima arahan daripada Jho Low.

Muhammad Shafee: Dengan bonus 18 bulan (sebagai CEO), tidakkah kamu terfikir menjadi kewajipan untuk mengetahuinya daripada Perdana Menteri?

Shahrol Azral: Saya sudah buat. Dalam fikiran saya, pada masa itu, Jho Low dan Najib sentiasa berhubungan. Saya tidak mempunyai sebab untuk sentiasa menyemak semula untuk mengetahui sama ada apa yang dinyatakan oleh Jho Low kepada saya adalah arahan Najib atau tidak.

Shahrol Azral menjelaskan bahawa Perkara 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat 1MDB menyatakan keputusan melibatkan kewangan, keselamatan dan dasar negara adalah di bawah Perdana Menteri.

"Jadi, berdasarkan itu dan dengan apa yang saya percaya ketika itu adalah, Jho Low menyampaikan arahan daripada Najib. Saya tidak mempunyai sebab untuk menyemak semula," kata Shahrol Azral.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee kemudian berkata pada satu peringkat, Shahrol Azral bermesej dengan Najib.

Muhammad Shafee: Kalau saya periksa telefon Najib sekarang ini, ada nombor kamu. Kamu bermesej, betul?

Shahrol Azral: Saya menghantar mesej kepadanya mungkin setahun sekali....untuk mengucapkan selamat hari jadi kepada Najib. Saya tidak menghantar sebarang mesej penting kepadanya.

Muhammad Shafee: Fikir betul-betul jawapan kamu. Adakah kamu akan terkejut kalau kami boleh kemukakan mesej berkenaan? Shahrol Azral menjawab: "Silakan."

Muhammad Shafee: Saya tidak menuduh kamu apa-apa. Maksud saya ialah kamu menghantar mesej dengan Perdana Menteri.

Shahrol Azral: Saya boleh menghantar mesej kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun, sekali lagi, saya menghormati, saya tidak akan hanya menghantar mesej kepada beliau mengenai perkara yang saya percaya sudah betul. Pada masa itu saya tidak mempunyai sebab untuk tidak mempercayai Jho Low.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. - Bernama