LZS serah pada SPRM siasat dua pegawai RTM

Saipolyazan
Saipolyazan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi kerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan reman dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berikutan dakwaan penyalahgunaan wang institusi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusof berkata, kes itu diserahkan kepada SPRM untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kepentingan wang zakat sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Saipolyazan berkata, LZS amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik.

"Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas," katanya.

Beliau memberitahu, LZS sentiasa berkongsi informasi berkaitan aktiviti pengurusan zakat di Selangor melalui pelbagai medium termasuk saluran media massa.

"Ini termasuklah menerbitkan program televisyen bagi bertujuan meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat.

"Pelaksanaan Penerbitan program televisyen tersebut diuruskan oleh perunding pengiklanan profesional yang dilantik oleh LZS mengikut prosedur yang ditetapkan, skop dan harga kontrak yang dipersetujui menggunakan dana pengurusan amil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan kontrak, LZS memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada perunding pengiklanan untuk berurusan terus dengan syarikat media dalam pelaksanaan skop kontrak dan pembayaran.

"Dalam usaha LZS membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa, LZS mengamalkan polisi agar mana-mana pembekal atau individu melaporkan sebarang cubaan atau salah laku rasuah kepada SPRM jika melibatkan kakitangan atau mana-mana pihak ketiga.

"LZS tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada SPRM jika aduan salah laku rasuah diterima oleh LZS sendiri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan menahan reman dua pegawai kanan RTM berhubung dakwaan penyalahgunaan wang sebuah institusi zakat untuk program berbayar di stesen berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, awalnya tiga orang ditahan pada 7 Oktober lalu termasuk seorang lelaki dipercayai pemilik syarikat swasta yang juga suami seorang daripada suspek.