19 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 8 positif dadah

Antara barang yang dirampas dalam operasi JIPS di sebuah pusat hiburan di ibu negara dengan tertangkapnya 19 anggota polis, awal pagi tadi.
Antara barang yang dirampas dalam operasi JIPS di sebuah pusat hiburan di ibu negara dengan tertangkapnya 19 anggota polis, awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan seramai 19 anggota polis dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Raja Chulan di sini awal pagi tadi.

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 1 pagi itu berjaya menahan seramai 47 individu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 19 adalah terdiri daripada anggota polis.

"Ujian saringan air kencing mendapati lapan anggota berpangkat rendah terbabit dikesan positif dadah.

"Selain itu, tangkapan selebihnya iaitu 26 orang turut membabitkan orang awam serta dua kakitangan kerajaan iaitu masing-masing adalah Penolong Pendaftar Mahkamah dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas beberapa paket lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah.

Katanya, kesemua tangkapan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan akan direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, selain tindakan undang undang, JIPS akan mengambil tindakan tatatertib terhadap 19 anggota polis berkenaan kerana ingkar perintah dengan mengunjungi pusat hiburan walaupun Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan larangan mengunjungi pusat pusat hiburan kepada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).