Laporan audit dedah 5 syarikat tak mampu bayar pinjaman RM2.8b

Nik Azman ketika bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Nik Azman ketika bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKNI] Identiti lima syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKI) dikenal pasti tidak mampu membayar sepenuhnya pinjaman matang dan dijamin kerajaan sebanyak RM2.839 bilion akhirnya didedahkan dalam pembentangan laporan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2018.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, dalam laporan pembentangannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negara, lima syarikat berkenaan adalah Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Berhad yang ditubuhkan semasa pembinaan lapangan terbang KLIA; syarikat Govco Holding Berhad; Aset Global Network Sdn Bhd; Jambatan Kedua Sdn Bhd; dan Dana Infra Nasional Berhad.

Menurutnya, pihaknya mendapati semua jaminan dibuat oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dengan kesemua syarikat berkenaan mempunyai obligasi membayar semula pinjaman kepada kerajaan.

"Faktor pemberian sijil bersih tetapi ditekankan Emphasize On Matters (EOM) diberikan pihak kami juga berdasarkan faktor kekhuatiran keupayaan lima syarikat di bawah MKI itu untuk membayar semula jaminan diberikan kerajaan.

"Atas sebab itu, dalam perenggan ketiga laporan laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan, kerajaan perlu menggubal sesuatu dasar dengan lebih berhati-hati dalam memberi pinjaman dengan kerajaan perlu melihat kemampuan kewangan negara sebelum memberi jaminan kepada syarikat kerajaan," katanya kepada media selepas memberi taklimat kepada ahli Jawatankuasa PAC mengenai laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2018 di Parlimen hari ini.

Turut serta Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad.

Nik Azman berkata, pihaknya turut mengemukakan enam syor audit untuk diambil tindakan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu pemantauan dipertingkatkan terhadap pemantauan di bawah AP58(a) bagi memastikan peruntukan tahun semasa dapat dioptimumkan penggunaannya untuk mencapai objektif ditetapkan.

Menurutnya, syor lain adalah pemantauan rapi terhadap prestasi projek pembangunan termasuk perlaksanaan projek di bawah PFI(Inisiatif Pembiayaan Swasta); Kementerian Kewangan perlu membentangkan anggaran pinjaman baharu akan dibuat bagi menampung bayaran balik prinsipal hutang semasa pembentangan bajet mengurus dan pembangunan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu syor audit keempat adalah setiap kementerian atau jabatan perlu mengkaji semula keberkesanan usaha mengutip balik hutang tertunggak terutama tunggakan tertakluk di bawah Akta Had Masa.

"Syor audit kelima adalah kerajaan hendak menetapkan jaminan had siling jaminan bagi pinjaman dibuat badan berkanun dan syarikat untuk mengelakkan komitmen Kerajaan Persekutuan semakin bertambah.

"Syor terakhir adalah kerajaan perlu melaksanakan pengurusan risiko terhadap elemen hutang, liabiliti kewangan, pelaburan dan perbelanjaan bagi menjamin kelestarian kedudukan kewangan kerajaan," katanya.