Serah laporan kajian jika terbukti ganja boleh diguna dalam perubatan

Zulkifli (kanan) pada sidang media selepas Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah 2019 di Wisma Negeri hari ini.
Zulkifli (kanan) pada sidang media selepas Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah 2019 di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Mana-mana pihak yang berjaya membuktikan faedah penggunaan ganja dalam perubatan diminta untuk serahkan laporan kajian serta penyelidikan mereka kepada Kementerian Kesihatan untuk dinilai.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, keputusan negara sekarang ini adalah jelas bahawa ganja tidak boleh digunakan dalam perubatan di negara ini.

Menurutnya, sehingga ini tidak ada lagi kajian saintifik yang diterima pihak kesihatan, yang menunjukkan bahawa ganja boleh dijadikan ubat dalam perubatan.

"Undang-undang sedia ada terpakai, setakat ini belum ada keputusan yang membenarkan ganja sebagai bahan perubatan.

"Kalau ada faedah dan kajian yang menunjukkan ada dalam perubatan, perlu serahkan kepada Kementerian Kesihatan. Mana-mana pihak tertentu perlu bawa laporan mereka ke Kementerian Kesihatan untuk mereka tentukan sebelum menerima sesuatu produk dalam perubatan," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah 2019, dekat Wisma Negeri di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pihak kementerian yang akan menentukan sesuatu produk itu termasuk penggunaan ganja dalam perubatan, namun sehingga kini belum ada lagi.

Terdahulu, sekumpulan aktivis memohon keprihatinan kerajaan mengeluarkan kanabis atau ganja daripada senarai Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membolehkan kajian saintifik dilakukan untuk membuktikan tumbuhan itu selamat digunakan dalam lapangan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, ganja disenaraikan di bawah Jadual 1 dalam akta tersebut dan ia melarang seseorang mengimport, menanam, memiliki, memindah atau menggunakan bahan berkenaan.