KVUM gesa kerajaan pantau langkah likuidasi syarikat Utusan Melayu

Khalid (kanan) pada sidang media di Hotel De Palma Jalan Ampang hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) menggesa Kementerian Sumber Manusia memantau langkah likuidasi ekoran pemberhentian operasi Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad baru-baru ini mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan (Employment Act) atau sebarang akta sedia ada.

Presiden KVUM, Tan Sri Khalid Yunus berkata, pihaknya khuatir jika tindakan sedemikian akan menjadi 'ikutan' syarikat lain bagi mencari jalan mudah untuk menyelesaikan 'masalah' mereka.

Menurutnya, tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat itu akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlu melalui proses Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau Skim Pemisah Sukareka (MSS).

"Kami menggesa syarikat mengambil kira kebajikan petugas yang diberhentikan.

"Mereka tidak hanya perlu dibayar gaji tertunggak selama ini serta gaji sehingga tarikh akhir bekerja pada 31 Oktober 2019 tetapi turut melibatkan pampasan lain yang difikirkan perlu termasuk melunaskan bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini.

"Kami juga meminta agar dipertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran graduiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu," katanya pada sidang media berhubung isu pemberhentian perniagaan syarikat Utusan Melayu di Hotel De Palma Jalan Ampang di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden KVUM, Roseminah Ahmad; bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar dan Tan Sri Suleiman Mohamed.

Pada 9 Oktober lalu, petugas Utusan Melayu dikejutkan dengan memorandum daripada Pengerusi Eksekutif syarikat yang memaklumkan pemberhentian operasi perniagaan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Khalid meminta syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan aset bagi tujuan membayar hutang.

Katanya, perkara berkenaan bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku.

"Kami meminta semua petugas syarikat yang terjejas dengan pemberhentian ini bersabar dalam menghadapi cabaran getir ini.

"Kami mendoakan mereka dirahmati ALLAH SWT serta diberikan petunjuk dan hidayah mengharungi waktu yang sukar ini," katanya.