KPKT cadang lanjut tempoh perkhidmatan ahli majlis

Zuraida pada sidang media selepas merasmikan konvensyen pemerkasaan pihak berkuasa tempatan 2019 pagi tadi.
Zuraida pada sidang media selepas merasmikan konvensyen pemerkasaan pihak berkuasa tempatan 2019 pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini sama seperti tempoh perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan itu akan memastikan peranan dan perkhidmatan ahli majlis dapat dirasai oleh masyarakat sekali gus memantapkan lagi organisasi PBT di seluruh negara.

"Kalau tempoh perkhidmatan dibuat atas dasar kontrak setahun atau dua tahun dan bertukar ia tidak akan dapat memastikan atau menjaminkan bahawa pengetahuan dan ilmu serta pengalaman yang mereka ada dapat digunakan sebaiknya.

"PBT tidak sempat menaikkan lagi kualiti perkhidmatan kepada penduduk kalau kita terus bertukar ahli majlis," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019 di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Konvensyen kali kedua yang dianjurkan KPKT menghimpunkan lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha dan Ahli Majlis daripada PBT seluruh negara.

Zuraida (tengah) bersama peserta Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019.
Zuraida (tengah) bersama peserta Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019.

Bertemakan PBT Perkasa, Rakyat Sejahtera, konvensyen itu diadakan sebagai platform untuk semua warga kerja PBT mendengar aspirasi kerajaan terhadap pemerkasaan peranan PBT serta perkongsian amalan terbaik berkaitan isu-isu kerajaan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai tempoh perkhidmatan ahli majlis, Zuraida berkata, perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan dan kertas kerja mengenai cadangan itu akan dibawa kepada Kabinet sebelum ia dapat diluluskan.

Selain itu katanya, beberapa pindaan akta perlu dibuat berikutan akta sedia ada tidak menetapkan tempoh perkhidmatan seseorang ahli majlis dan ia di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berharap pelantikan ahli majlis bukan sahaja datang dari parti politik atau dianggap sebagai ganjaran politik sebaliknya jawatan itu perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, berminat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat selain patuh serta faham prosedur kerja PBT.

Beliau turut meminta agar semua pegawai kerajaan, ahli politik dan ahli majlis dapat lebih serasi dan memahami antara satu sama lain sekali gus membolehkan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

"Sepanjang dua tahun ini saya masih melihat ada banyak perasaan syak wasangka lagi antara mereka.

"Kita dah jadi satu kerajaan yang memerintah maka kita perlu mengurangkan syak wasangka ini agar kita dapat jalankan tugas dengan jauh lebih baik," katanya.