Lelaki Rohingya mengaku ceroboh Hutan Simpan Koh Moi

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah membawah tertuduh pertama di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini.
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah membawah tertuduh pertama di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki Rohingya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh sebahagian Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi.

Tertuduh, Moktul Husson Guramiah, 25, yang merupakan pemegang kad UNHCR didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 9 Mac lepas.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut fakta kes tertuduh ditemui sedang melakukan aktiviti pembersihan tanah dalam kawasan berkenaan dalam operasi penguatkuasaan dilakukan jam 10.30 pagi pada 9 Mac lepas.

Selain itu dua parang dipercayai digunakan untuk tujuan pembersihan tanah hutan simpan tanpa kebenaran sah turut dijumpai bersama dengan tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 81 (1) (g) Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah Darul Aman sebagai Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 81 (2) (c) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Bagi pertuduhan kedua pula dia dituduh kesalahan di bawah Seksyen 81 (1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai oleh Negeri Kedah Darul Aman sebagai Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 81 (2) (c) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang warga emas, Harun Mat, 64, yang didakwa memasuki kawasan Kompartmen 11, Hutan Simpan Koh Moi tanpa lesen, permit atau apa-apa kebenaran pada tarikh dan waktu sama tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Mason Jarp Lenya Barayan.

Hakim Murtazadi menetapkan 13 November untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh pertama manakala tarikh bicara untuk tertuduh kedua.