Dua remaja parah motor rempuh kereta

Keadaan motosikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 63 Jalan Klang-Teluk Intan malam tadi.
Keadaan motosikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 63 Jalan Klang-Teluk Intan malam tadi.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Dua remaja lelaki masing-masing penunggang motosikal parah selepas merempuh kereta di Kilometer 63, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran simpang Taman Radin Jaya malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, Muhammad Nor Addeha Mohamad Nordin, 17, dan Muhammad Danish Irfan Asmarul Zamri, 17, masing-masing parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta dari arah Taman Radin Jaya menghala ke Tanjong Karang.

"Pemandu kereta dipercayai keluar simpang membelok ke kanan dan berada di pembahagi jalan.

"Sebaik berada di pembahagi jalan, dua motosikal dari arah kanan merempuh Proton Saga Iswara itu," katanya.

Md Asri berkata, kejadian berlaku di jalan dua lorong dua hala dan dipisahkan dengan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan.

"Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau memberitahu, pemandu kereta Proton Saga Iswara berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.