Selangor kaji had harga rumah bagi pembeli asing

Amirudin (tiga dari kiri) bersama penjawat awam ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Amirudin (tiga dari kiri) bersama penjawat awam ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor masih mengkaji had harga rumah bagi pembeli yang terdiri daripada warga asing di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara ini masih dalam peringkat kajian melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi mengatasi lambakan rumah mewah yang tidak terjual di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri masih di peringkat kajian dan sudah arahkan lembaga perumahan untuk membuat kajian semula terhadap angkanya.

"Mungkin penurunan atau mengekalkan dan sebagainya tapi kita belum buat keputusan, saya harap dalam masa dua tiga minggu lagi kita akan dapat buat keputusan.

"Masa sama kita akan ada beberapa pertimbangan dan kita juga takkan mudah benarkan warga asing ini memiliki rumah ini kerana ia mempunyai kesan yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium, Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Katanya, penurunan had harga rumah untuk pemilikan asing dari RM1 juta kepada RM600,000 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 adalah sangat rendah.

"Jika diikutkan di Shenzhen, China bagi rumah seluas 1,000 kaki persegi puratanya berharga antara RM5 juta ke RM6 juta jadi had pemilikan asing bernilai RM1 juta atau RM2 juta semestinya tidak mendatangkan masalah kepada mereka (warga asing).

Artikel Berkaitan:

"Sebagai langkah untuk menggalakkan lagi pemilikan rumah oleh golongan B40 dan rakyat negeri ini mendapat manfaat yang besar, pihaknya akan memperkasakan lagi Program Rent To Own (RTO) yang mendapat peruntukan RM10 bilion," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan dalam satu kenyataan berkata kelonggaran mengurangkan nilai ambang dari RM1 juta ke RM600,000 untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan.

Menurutnya, penurunan harga berkenaan melibatkan unit sedia ada yang tidak terjual dan merupakan kediaman yang tidak dapat menarik pembeli tempatan.

Justeru, beliau menegaskan pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual.

“Sekiranya unit tersebut dapat dijual, ia secara langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara.

“Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut berhubung pengurangan nilai ambang bagi memastikan objektif dasarnya tercapai,” katanya.