PRK Tanjung Piai: Bekas ADUN BN calon PH?

Kenyataan ditularkan satu kumpulan di laman sosial Facebook semalam. (Gambar kecil: Suhaimi Salleh)
Kenyataan ditularkan satu kumpulan di laman sosial Facebook semalam. (Gambar kecil: Suhaimi Salleh)
A
A
A

PONTIAN - Calon Pakatan Harapan (PH) yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mencuri tumpuan apabila desas-desus memperkatakan PH bakal mengangkat calon yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) sebagai calon pada 16 November depan.

Desas-desus mengenai bekas ADUN Kukup, Suhaimi Salleh bermula sejak semalam dan pemilihan nama Suhaimi diperkuatkan lagi apabila beliau turut dikaitkan dengan 'orang kuat' Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu adik kepada Ketua Bersatu Cawangan Pekan Nanas Timur, Darwis Salleh.

Suhaimi bagaimanapun ketika dihubungi memaklumkan tidak mengetahui tentang khabar angin yang mengaitkan namanya sebagai calon PH bagi PRK Tanjung Piai.

"Saya tidak tahu apa-apa pasal khabar angin yang tular ini. Saya juga tidak pernah dimaklumkan apa-apa berkenaan calon," katanya kepada Sinar Harian.

Kenyataan dari kumpulan dalam laman sosial Facebook itu menjelaskan bahawa bekas ADUN Kukup itu yang mewakili BN pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu kini menjadi ahli Bersatu selepas PRU14, namun tiada sebarang kesahihan.

Kenyataan itu juga seolah-olah menyokong Suhaimi sebagai calon sekiranya benar beliau telah menyertai PH kerana menyifatkan bekas ADUN itu menjalankan tugas dengan baik sebagai wakil rakyat sebelum ini.

Suhaimi pernah menjadi ADUN Kukup yang terletak dalam Parlimen Tanjung Piai selama sepenggal (2013-2018) selepas menewaskan calon Pas, Ghazaley Ayub dengan majoriti 6,946 undi pada PRU13.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Tanjung Piai Jun lepas, Suhaimi pada waktu itu Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai telah bertanding bagi jawatan ketua UMNO bahagian, namun tewas kepada Datuk Jefridin Atan.

Artikel Berkaitan: