Skuad hoki remaja pamer peningkatan

Pemain Malaysia, Muhammad Amirul Haniff Mamat berjaya melepasi kekangan pemain Australia, Daniel Mcbride pada aksi Piala Sultan Johor 2019 semalam. - Foto Bernama
Pemain Malaysia, Muhammad Amirul Haniff Mamat berjaya melepasi kekangan pemain Australia, Daniel Mcbride pada aksi Piala Sultan Johor 2019 semalam. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad hoki bawah 21 tahun negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui para pemainnya menampilkan persembahan positif ketika mengikat juara dua kali, Australia 1-1 dalam Kejohanan Piala Sultan Johor 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam.

Menurutnya, aksi yang ditampilkan pemain muda negara jauh lebih baik berbanding aksi pertama ketika tunduk kepada India 2-4, kelmarin.

"Kami bermain dengan baik berbanding ketika bertemu India. Namun, kesilapan kita adalah tidak menyempurnakan peluang terhidang dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri ini.

"Bagaimanapun, banyak perkara positif yang saya dapat lihat dan pemain mampu menyaingi kemampuan Australia yang kita tahu cukup baik di semua bahagian," katanya.

Selepas permulaan seimbang dalam dua suku pertama perlawanan, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Adam Aiman Mamat pada minit ke-35.

Perlawanan terus berlangsung sengit selepas itu dengan Australia mempunyai beberapa peluang tetapi dinafikan oleh benteng pertahanan tuan rumah.

Begitupun gawang Malaysia bolos akhirnya pada minit ke-58 apabila Daniel McBride bijak memanfaatkan kesempatan menerusi gol padang bagi menyelamatkan maruah negara kanggaru itu.

Mengulas lanjut, kata Nor Saiful, beliau memuji semangat dan keyakinan tinggi yang ditunjukkan pemainnya dan berharap momentum tersebut dapat diteruskan pada perlawanan menentang New Zealand esok.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap pemain dapat meneruskan dan dalam masa sama meningkatkan lagi permainan. Beberapa pemain juga ada mengalami kecederaan ringan dan kita perlu atasinya sebelum perlawanan akan datang,” katanya.