IPT disaran pelbagaikan program lahir tenaga kerja mahir

P Ramasamy
A
A

BUTTERWORTH - Institut Pengajian Tinggi (IPT) disaran mempelbagaikan program baharu bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata, Malaysia terutama negeri ini sedang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja mahir seperti jurutera dan juruteknik bagi memenuhi permintaan kilang-kilang antarabangsa yang melabur di sini.

"Saya baru melawat Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Pulau Pinang, mendapati beberapa ILP sedang menghadapi masalah kekangan kewangan dalam mewujudkan program baharu.

“Bidang pendidikan memainkan peranan sangat besar dalam menyedia tenaga kerja mahir, jadi saya berharap semua IPT akan menyediakan program baharu yang selari dengan peredaran zaman supaya tiada pihak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin yang bernilai RM4.2 juta di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk membantu mana-mana ILP yang menghadapi masalah supaya dapat melahirkan tenaga kerja yang optimum dalam era Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi dan Inovasi

berkata, bangunan baharu SJKT Mak Mandin itu siap dibina dua tahun lalu tetapi kegagalan mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) menyebabkan bangunan itu tidak dapat digunakan.

"Sekarang bangunan tiga tingkat yang dilengkapi 12 bilik darjah, sebuah pusat sumber, bilik kaunseling, bilik rawatan dan kantin itu mula diguna pakai.

“Bangunan baharu ini akan membolehkan sekolah ini beroperasi dengan hanya satu sesi dengan jumlah 840 murid termasuk murid prasekolah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersedia untuk membantu pihak sekolah dalam membangunkan sebidang tanah seluas 0.4 hektar bersebelahan sekolah itu, untuk dijadikan padang bola. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia