MFL tarik balik saman terhadap TM

Hamidin Mohd Amin
Hamidin Mohd Amin
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan untuk menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia.

Keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu itu dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Perkara itu disahkan oleh Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan bahawa tindakan menarik balik saman terhadap TM berkaitan pembayaran hak penyiaran membuktikan semangat kesukanan tinggi yang terjalin di antara pengendali Liga Malaysia dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara.

“Saya mengesahkan bahawa MFL telah bersetuju untuk menarik balik tuntutan saman terhadap TM selepas mencapai persetujuan dengan kesemua barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“TM bukan satu entiti yang asing dalam dunia bola sepak tempatan. Mereka telah bersama dengan MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan menjadi penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 2000.

“Bukan itu sahaja, kita juga mengakui sumbangan TM yang turut aktif dalam menggerakkan pelbagai program pembangunan bola sepak tanah air," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Justeru, kata Hamidin, beliau optimis bahawa tindakan menarik balik saman itu akan memastikan hubungan MFL dan TM akan terjalin lebih utuh.

“Tindakan MFL menarik balik saman terhadap TM berkaitan isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia musim 2019 membuktikan semangat kesukanan di antara MFL dan TM di mana saya percaya kita boleh mencari titik persamaan demi kebaikan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Malah saya optimis bahawa situasi ini akan menjadikan hubungan MFL dan TM terjalin lebih utuh di mana saya percaya peminat-peminat bola sepak mahu melihat suasana kondusif dapat diwujudkan sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.