Impak maksima Hagibis

Taufan Hagibis menyebabkan kemusnahan teruk di daerah Ichibara.
Taufan Hagibis menyebabkan kemusnahan teruk di daerah Ichibara.
A
A
A

SEKURANG-KURANGNYA 35 orang terbunuh selepas Taufan Hagibis membadai Jepun semalam.

Beberapa mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat terperangkap dalam kejadian tanah runtuh, malah ada mangsa yang dihanyutkan bersama kenderaan selepas air sungai melimpah akibat hujan lebat.

Laporan Japan Today yang memetik kenyataan sumber penyelamat dan pihak berkuasa menyebut, lebih 100 mangsa cedera dan tujuh juta orang diarah berpindah ke kawasan selamat.

Tokyo turut lumpuh berikutan kedudukannya yang berada di bawah paras laut.

Operasi menyelamat turut giat dijalankan di wilayah tengah, timur dan timur laut yang teruk dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.

Kementerian Pertahanan turut mengerahkan kira-kira 27,000 anggota tentera bagi membantu operasi dan menyelamat (SAR) di seluruh negara.

Tentera turut dikerah bagi membantu memindahkan penduduk di kawasan terjejas teruk akibat Hagibis.
Tentera turut dikerah bagi membantu memindahkan penduduk di kawasan terjejas teruk akibat Hagibis.

Susulan bencana itu, Perdana Menteri Shinzo Abe mempengerusikan mesyuarat tergempar bersama menteri berkaitan dan mengarahkan kementerian bertanggungjawab menangani senario berkenaan pada kadar segera.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan akan melaksanakan semua usaha dalam membantu pihak yang terjejas dalam perkara ini,” katanya.

Banyak rumah tenggelam di Nagano

Bandar Nagano antara kawasan paling terjejas dibadai Hagibis, menyaksikan puluhan rumah ditenggelami air sehingga memaksa penduduk memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri.

Menurut stesen penyiaran awam NHK, rumah di sepanjang sungai Chikuma hampir ditenggelami sepenuhnya dan sekurang-kurangnya seorang penduduk terpaksa diselamatkan menggunakan helikopter penyelamat.

Kejadian itu berpunca apabila tebing sungai berkenaan runtuh dalam kejadian awal pagi semalam.

Tambah NHK, empat orang maut di Chiba, Gunma, Kanagawa dan kawasan kejiranan Fukushima.

Antara mangsa adalah seorang lelaki berusia 60 tahun yang ditemui tanpa denyutan nadi di sebuah pangsapuri di Kawasaki.

Langit Jepun bertukar ungu sehari sebelum Taufan Hagibis membadai negara itu.
Langit Jepun bertukar ungu sehari sebelum Taufan Hagibis membadai negara itu.

Lebih 40 kes tanah runtuh dicatat

Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan berkata, sekurang-kurangnya 48 kes kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dilaporkan melanda di 12 wilayah.

Manakala air di sembilan sungai utama melimpah akibat hujan lebat dalam tempoh 24 jam.

Dalam perkembangan berkaitan di Fukushima, Tokyo Elektrik Power Co melaporkan bacaan luar biasa daripada sistem pemantau air di loji nuklear Fukushima Daiichi.

Loji berkenaan mengalami kemusnahan teruk dalam bencana tsunami dan gempa bumi pada 2011.

Kapal kargo karam

Sebuah kapal kargo Panama dilaporkan karam berhampiran Teluk Tokyo malam kelmarin.

Pengawal pantai tempatan berkata, ketika kejadian terdapat sekurang-kurangnya 12 krew berada dalam kapal malang tersebut.

Lima anak kapal diselamatkan awal pagi semalam, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke hospital.

“Kapal kargo itu karam selepas angin kencang mula membadai Teluk Tokyo.

“Operasi SAR dijalankan sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan,” katanya. - Agensi