Pekema bakal lahirkan graduan

 PRESIDEN Pekeme, Datuk Zainuddin Abd Rahman
PRESIDEN Pekeme, Datuk Zainuddin Abd Rahman (kiri) bersalaman dengan Dr Azlan selepas menandatangani MOA antara Pekema dan UTM di Cyberjaya, baru-baru ini.
A
A

Bekerjasama dengan UTM, tawar kursus automatif, jualan, pengurusan jualan

PERSATUAN Pengimport dan Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) komited dalam usaha memperkasa, memberi pendedahan dan membangunkan keupayaan modal insan khususnya dalam industri automotif.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Pekema menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). MoA itu bakal menawarkan pengajian peringkat diploma profesional dalam bidang automotif, jualan dan pengurusan jualan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pekema, Mohamad Shalan Hassan, kerjasama itu nanti akan melibatkan Akademi Pekema dan UTMSpace.

Kursus yang ditawarkan melibatkan pengajian Diploma Profesional Perunding Jualan Auto, Diploma Profesional Kecekapan Diagnostik Auto dan Diploma Profesional Strategi dan Perancangan Perniagaan yang diiktiraf oleh UTMSpace.

“Seperti apa yang kita rangkakan, kursus tersebut dijangka akan bermula pada Januari tahun depan dan terbuka kepada semua individu dan calon yang berminat terutama yang berada dalam industri automotif.

“Tempoh pengajian hanya 12 bulan bagi tiga semester. Program ini membolehkan peserta menerapkan kemahiran serta pengetahuan mereka dalam alam pekerjaan sebenar,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pertukaran MoU di Wisma Yayasan Pekema, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd Rahman dan UTMSpace diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Dr Azlan Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Mohamad Shalan berkata, individu yang menyertai pengajian diploma jangka pendek itu berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada ke peringkat selanjutnya.

"Para peserta yang akan sertai kursus tersebut akan jalani sesi pembelajaran mereka di Wisma Yayasan Pekema yang terletak di Cyberjaya," katanya.