Lebih 1,000 pelajar terima sumbangan makanan bernutrisi

Lebih 600 peserta menyertai acara Nuri Ride 2019 yang dianjurkan Bank Rakyat dengan kerjasama Terengganu Cycling Team (TSG).
Lebih 600 peserta menyertai acara Nuri Ride 2019 yang dianjurkan Bank Rakyat dengan kerjasama Terengganu Cycling Team (TSG).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebih 1,000 pelajar di seluruh negara menerima sumbangan makanan bernutrisi yang disalurkan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, sumbangan makanan bernutrisi itu dinikmati melalui kad Nuri Nutrisi yang diserahkan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk menerima bantuan makanan di sekolah selama tiga bulan.

“Setakat ini program ini dijalankan di semua negeri dan Terengganu ialah destinasi baru bagi program ini yang dimulakan dengan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, Marang dan SMK Kompleks Tok Adis di sini.

“Seramai 60 murid dari dua sekolah ini menerima kad Nuri Nutrisi bagi melayakkan mereka menerima bantuan makanan di sekolah,” katanya ketika ditemui selepas aktiviti Nuri Ride, Beach Cleaning dan Nuri Nutrisi di Batu Buruk.

Beliau berkata, program Nuri Nutrisi selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) dalam membasmi kemiskinan dan kelaparan serta menjamin kesihatan dan kesejahteraan.

“Program ini bertujuan mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat dengan pelbagai usaha bagi meningkatkan status nutrisi masyarakat terutama golongan kanak-kanak yang memerlukan makanan berkhasiat bagi merangsang proses tumbesaran mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kompleks Tok Adis, Rokiah Hassan berkata, program itu amat bermanfaat kepada golongan pelajar yang terdiri dalam kalangan kurang berkemampuan.

"Pihak sekolah menyokong penuh usaha itu serta turut melakukan inisiatif bagi membantu golongan pelajar berkenaan. Ada pelajar yang datang ke sekolah tidak mampu membeli makanan. Kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan keluarga susah dan mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kami di peringkat sekolah menerusi Unit Khas ada menyediakan bantuan untuk mereka sekadar termampu dan kami amat berterima kasih dan mengalu-alukan sumbangan bantuan yang disalurkan Bank Rakyat ini,” katanya.

Program dianjurkan Bank Rakyat itu menyaksikan penyertaan lebih 600 peserta bagi acara Nuri Ride 2019 yang dianjurkan dengan kerjasama Terengganu Cycling Team (TSG) dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.

Program Kayuhan Basikal sejauh 20km itu juga berjaya menarik penyertaan seramai 300 kanak-kanak terdiri dalam kalangan ahli Kelab Nuri Bank Rakyat serta individu.

Selain mempromosikan Kelab Nuri Bank Rakyat, program itu juga bertujuan memupuk semangat dan gaya hidup aktif dalam kalangan peserta, selari dengan SDG ketiga iaitu Kesejahteraan dan Kesihatan yang Baik.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut mengadakan program sukarelawan melibatkan seramai 71 warga kerjanya bagi membersihkan sekitar Pantai Batu Buruk.

Kakitangan Bank Rakyat menjayakan program sukarelawan membersihkan pantai menerusi aktiviti Beach Cleaning.
Kakitangan Bank Rakyat menjayakan program sukarelawan membersihkan pantai menerusi aktiviti Beach Cleaning.

Katanya, ia selaras dengan Matlamat 14 SDG iaitu pengurusan serta memelihara marin dan ekosistem pesisir pantai yang mampan.

“Sebagai sebuah Bank Lestari, Bank Rakyat memainkan peranan bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar seperti bebas daripada pencemaran, berdaya tahan terhadap ancaman perubahan iklim, eksploitasi sumber laut serta pembuangan sisa plastik,” katanya.