Belanjawan 2020: Setiap kata mesti dikota

Dr Mahathir bersama Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas pembentangan belanjawan tersebut di Parlimen Jumaat lalu.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir bersama Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas pembentangan belanjawan tersebut di Parlimen Jumaat lalu.
 -Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN meramalkan ekonomi negara akan meningkat semula dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka tumbuh pada kadar 4.8 peratus.

Keyakinan tersebut dinyatakan sendiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu pertemuan dengan pihak media baru-baru ini.

Bagaimanapun, jika ramalan tersebut tidak menjadi kenyataan, Guan Eng menjelaskan, kerajaan sudah merangka strategi bagi mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.

Berdasarkan kepada laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, KDNK negara pada tahun depan akan dipacu oleh permintaan domestik, terutama perbelanjaan isi rumah menerusi pasaran buruh yang stabil dan kadar inflasi yang rendah.

Perbelanjaan sektor swasta akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan dan pelaburan swasta masing-masing meningkat 6.9 peratus dan 2.1 peratus pada 2020 manakala perbelanjaan sektor awam dijangka kembali pulih berikutan peningkatan pelaburan.

Pada Jumaat lalu, kerajaan membentangkan Belanjawan 2020 yang berjumlah RM297 bilion dengan tema Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama.

Kita semua berharap agar segala yang dirancang ini akan menjadi kenyataan kerana ada sesetengah pihak mendakwa belanjawan yang diumumkan pada tahun lalu tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan. Jika benar berlaku perkara ini seperti yang didakwa oleh pihak tersebut maka wajar kerajaan memberikan penjelasan sama ada perkara itu benar atau sebaliknya.

Kita juga ingin tahu seandainya kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan yang membabitkan perolehan dan projek-projek awam. Sudah tentu segala persoalan yang timbul ini akan terjawab apabila Jabatan Audit Negara membentangkan laporan pertama terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran negara pada Mei 2018.

Artikel Berkaitan:

Harapan rakyat tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali dan mahu setiap perbelanjaan yang dilakukan kerajaan dilakukan dengan berhemah dan bertanggungjawab. Jagalah amanah yang diberi oleh rakyat supaya nasib yang menimpa pentadbiran terdahulu tidak berlaku. Setiap kata mesti dikotakan dan janji mesti ditepati.