Majikan digesa patuhi perintah gaji minimum

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Semua majikan di negeri ini digesa mengambil berat dan mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai semalam.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Awang Raduan Awang Omar ketika membuat gesaan itu berkata perintah yang baharu ini menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam.

Selain itu, katanya, bagi pekerja yang dibayar kadar gaji harian, kadar gaji minimum adalah ditetapkan berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu.

“Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 di seluruh Malaysia dan perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Awang Raduan berkata berdasarkan rekod, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah membuka sebanyak 76 kertas siasatan sejak tahun 2015 bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum.

Beliau berkata daripada 76 kertas siasatan tersebut, 25 kes telah dihadapkan ke mahkamah dan 20 daripada kes tersebut telah disabitkan kesalahan.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 30 kes telah ditutup kerana kes telah diselesaikan, manakala baki 21 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadap majikan yang tidak mematuhi gaji minimum adalah sebanyak RM135,591.

Awang Raduan berkata, Perintah Gaji Mimimum itu turut turut dinikmati oleh pekerja asing yang bilangannya adalah 139,000 orang yang diberi lesen bekerja di negeri ini oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.

Katanya, kebanyakan pekerja asing berkenaan yang kebanyakannya dari Indonesia seramai 129,733 orang, China (4,770), Myanmar (1,620), India (1,055) dan Filipina (849) bekerja di sektor peladangan. - Bernama