Pengundi mahu calon Melayu di Tanjung Piai

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Selain kriteria anak tempatan, calon Melayu juga antara desakan yang masyarakat setempat kemukakan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada bulan depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendapat itu diperoleh hasil daripada pertemuan beliau dengan masyarakat di kawasan berkenaan dan semasa menghadiri lebih lapan program di situ.

“Saya dah menghadiri beberapa program dan bertemu dengan masyarakat di Tanjung Piai, mereka memang inginkan calon Melayu.

“Bagaimanapun, ingin saya tekankan, saya hanya boleh tolong sampaikan, keputusan tetap terpulang pada keputusan kepimpinan tertinggi,” katanya di sini semalam.

Dalam masa sama, Ahmad turut menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya tidak akan menggunakan jentera kerajaan bagi menghadapi PRK Tanjung Piai namun hakikatnya sudah banyak program menteri diadakan di kawasan itu.

Menurutnya, hari ini (semalam) sahaja ada dua menteri mengadakan program berasingan di kawasan itu iaitu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamarudin.

“Kita dah mula lihat ramai menteri datang, mereka kata tak nak guna jentera kerajaan tapi saya yakin mereka akan gunakan. Kalau tak, ia memang cerita dongenglah.

“Sudah kelihatan mereka gunakan jentera kerajaan, mereka datang ke sekolah, semua digunakan termasuk nelayan. Para menteri, Exco kerajaan negeri semua dah muncul, mana janji tak nak gunakan jentera kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad berkata, PRK Tanjung Piai amat penting kepada mereka kerana ia diadakan selepas Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional selain selepas Belanjawan 2020.

Katanya, sama ada rakyat mampu menerima semua itu atau tidak, semuanya bakal terjawab.

"Namun saya harapkan keputusan positif sekali gus memberikan kesan baik kepada BN (Barisan Nasional)," katanya.