[VIDEO] Ibu sanggup pinjam ceti demi hadir konvokesyen anak

Meor Shamshir (kanan) bersama arwah ibu yang banyak menjadi inspirasi kepadanya untuk membuka Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.
Meor Shamshir (kanan) bersama arwah ibu yang banyak menjadi inspirasi kepadanya untuk membuka Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun ibu sudah tiada sejak 15 tahun lalu, namun pengorbanannya yang terpaksa mengheret kaki yang luka akibat komplikasi kencing manis di lapangan terbang di England tidak akan dilupakan seorang jurutera, Ir Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni.

Ini kerana, kehadiran arwah ibunya ke tanah asing itu adalah untuk menyaksikan sendiri beliau menerima segulung ijazah di Universiti Sheffield, England.

Lebih menyedihkan, tiket penerbangan dan segala kos yang terpaksa ditanggung itu adalah hasil pinjaman daripada ceti.

Walaupun dihalang, sehingga timbul pertelingkahan antara Meor dan ibunya, namun arwah Latifa Bee, 56 tahun tidak pernah sekalipun merasakan kekurangan sumber kewangan dan kesusahan yang dialami menjadi penghalang untuk hadir ke majlis penganugerahan tersebut.

Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni
Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni

"Saya masih ingat lagi, memang saya tidak bersetuju pada ibu sebab ibu beritahu akan datang majlis konvokesyen saya dengan hasil pinjam wang ceti.

"Saya sudah tanamkan dalam diri konvokesyen ini hanyalah majlis biasa, setakat terima sijil, lepas itu balik.

"Kalau ibu tidak datang pun tidak mengapa, sebab saya tahu kami susah. Kami miskin. Memang kami tidak mampu dan ibu tidak akan boleh merasa pijak kaki ke England.

Artikel Berkaitan:

"Sangkaan saya meleset apabila ibu menghubungi saya, suruh saya tunggu ketibaannya di sana. Terkejut, marah, semua perasaan bercampur. Namun hati anak mana yang tidak gembira apabila tahu ibunya akan hadir majlis konvokesyen," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial perkongsian Meor tentang kegigihan ibunya yang berusaha untuk ke England bagi melihatnya menamatkan pelajaran.

Kisah tersebut memberi inspirasi kepada puluhan ribu netizen yang membaca, dan tidak kurang juga yang berkongsi kisah tersebut di laman Facebook mereka.

Mengimbau kembali kenangan tersebut, Meor memberitahu, dua jam penantian di lapangan terbang sangat meresahkannya kerana ketika itu tiada telefon mudah alih untuk menghubungi ibu.

Bersandarkan tawakal kepada ALLAH, selepas dua jam, akhirnya mereka dipertemukan di terminal tersebut dalam keadaan ibu yang mengheret kaki akibat luka yang serius.

"Luluh hati dan jantung saya tengok ibu jalan seret kaki. Cepat-cepat saya bawa balik ke rumah dan tukar pembalut luka. Kaki ibu parah, tapi ibu kuat semangat, tidak langsung mengeluh dan tetap berdisiplin makan ubat darah tinggi, kencing manis yang dihidapinya," katanya.

Pengasas Rumah Kebajikan Asnaf Kelantan itu juga memberitahu, dengan keadaan tiada sumber kewangan, namun beliau tetap membawa ibunya berjalan sekitar kota England, walaupun tidak mampu untuk membeli buah tangan sekalipun. Makan dan minumnya semasa belajar semuanya ditanggung pihak Mara ketika itu.

Selepas majlis konvokesyen tamat, Meor dapat melihat semua kawan-kawan berada bersama keluarga dan ketika itu barulah beliau sedar, kedatangan ibunya pada hari tersebut merupakan hadiah yang cukup bermakna kepadanya.

"ALLAH hadirkan ibu ketika itu untuk saya sedar, betapa susah macam mana sekalipun kami, tapi ibu usahakan juga untuk buat saya gembira. Datang mewakili ahli keluarga yang lain walau terpaksa berhutang.

"Dengan kaki yang sakit dan keadaan buah pinggang yang tidak mengizinkan, arwah sanggup berdepan kesejukan dan berada di atas kerusi lebih dari 10 jam dalam penerbangan. Semata-mata untuk menyambut saya turun dari pentas selepas menerima ijazah tersebut," katanya.

Sejak dari peristiwa itulah Meor berazam untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan dalam menjana kewangan dengan lebih baik demi pendidikan anak-anak mereka.

Beliau nekad penubuhan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan pada 2015 merupakan hadiah terbesar kepada arwah ibunya bagi mengenang kembali jasa yang pernah dilakukan kepada anak-anak.

Meor Shamshir (kanan) mendengar masalah dan menjadi rujukan golongan asnaf yang hadir setiap Jumaat untuk makan dan mendapatkan bantuan dari kelab tersebut.
Meor Shamshir (kanan) mendengar masalah dan menjadi rujukan golongan asnaf yang hadir setiap Jumaat untuk makan dan mendapatkan bantuan dari kelab tersebut.

"Pada mulanya, selepas pemergian ibu, jiwa saya kosong. Lalu saya dinasihatkan untuk banyak melakukan kebajikan dengan niat untuk sedekahkan kepada arwah.

"Saya dipertemukan dengan mereka yang memang daif dan susah. Saya bantu beri duit, lepas itu dengar masalah mereka. Akhirnya ia berlarutan, lebih 30 keluarga datang jumpa saya di rumah setiap hari Jumaat.

"Bila saya tengok wajah mereka, saya terbayang wajah arwah ibu. Inilah yang menjadi penguat semangat saya untuk bantu orang susah.

"Setiap Jumaat mereka berkumpul di rumah saya, makan, solat bersama, kongsi masalah dan kita buat ujian kesihatan dan sebagainya. Kini setiap Jumaat, kita kumpul hampir 1,000 keluarga dan minggu lalu, genap Jumaat yang ke 200 kita bersama," katanya.

Walaupun bekerja sebagai seorang jurutera dan sentiasa dihimpit dengan kekangan masa, namun Meor berkata, berkat usahanya dan dibantu dua isteri, semua urusan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Ketika ditanya mengenai sumber kewangan, beliau memberitahu, Facebook miliknya adalah medium terbaik untuk mendapatkan 'crowd funding'.

"Alhamdulilah, saya gunakan sebaik mungkin Facebook saya untuk aspirasikan semua cerita-cerita warga asnaf supaya mereka boleh dibantu dengan apa cara sekalipun.

"Sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak membantu saya menguruskan lebih 1,000 keluarga yang rata-ratanya tidak mempunyai sumber kewangan tetap. Ada yang tidak makan seminggu, pelbagai masalah saya dengar. Saya bantu apa yang kita mampu," katanya.

Kos pengurusan Dapur Asnaf setiap Jumaat adalah lebih RM1,500 tidak termasuk kos-kos yang lain yang ditanggung Meor sendiri.

Bagaimanapun, itulah satu kepuasan yang dilakukan bapa kepada enam cahaya mata ini demi mengaspirasikan pengorbanan ibunya yang menjaga, mendidik dan membesarkan beliau sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara.

https://youtu.be/dS2NmTXN9SM