Taman haiwan dan hidup insan

A
A
A

DALAM kalangan makhluk Tuhan, insan mempunyai pelbagai kehebatan berbanding makhluk lain di atas muka bumi ini. Hakikat itu membuat insan kagum akan dirinya sendiri. Kesilapan dan perangai mengagumi diri sendiri inilah yang sering menjebak insan. Maka jadilah insan umpama serangga di jala sawang labah-labah.

Insan yang berego tinggi itu tidak dapat bergerak apabila melekat di sawang keujuban. Keujuban itu yang memudahkan insan bersengketa sesama sendiri serta hilang rasa keinsafan dan rendah hati.

Satu daripada kehebatan insan ialah kebolehannya bertutur kata serta berbahasa untuk berkomunikasi.

Kita perlu sedar bahawa kebolehan berbahasa dan bertutur kata dikesani langsung oleh dua pengaruh iaitu motivasi daripada sistem emosi (perasaan) dan transformasi daripada sistem kognisi (fikiran dan pengetahuan).

Walaupun kedua-dua sistem itu seolah-olah boleh dipisahkan setiap kali kita bertindak, kedua-duanya saling mempengaruhi satu sama lain dalam keadaan kesepaduan yang jitu. Misalannya, bila kita amati sesuatu objek (seperti insan atau haiwan) atau konsep (seperti kuasa atau peluang), kedua-dua sistem ini terus berfungsi serentak.

Antara jenis perasaan utama ialah takut, marah, bimbang, benci dan sayang.Julat perasaan sayang benci mengandungi dua lagi perasaan, suka dan tidak suka. Jadi julat emosi sayang benci yang mengandungi empat perasaan penting insan ialah sayang, suka, tidak suka dan benci.

Sekarang cuba kita gunakan konsep di atas dalam kehidupan seharian kita di dunia yang fana ini.

Kita bayangkan senario di sebuah taman binatang atau burung yang penuh haiwan liar dijaga dengan baik walaupun kebebasannya terhad.

Artikel Berkaitan:

Ramai manusia berkeliaran di zoo yang juga adalah sebuah taman binatang. Istilah 'berkeliaran' mengingatkan kita bahawa insan ialah sejenis haiwan sosial yang boleh berkeliaran seperti haiwan lain di bumi yang luas ini.

Mata kita pun mengamati persekitaran zoo itu. Sangkar-sangkar besar dan kecil yang mengandungi mergastua (yang sudah tidak boleh berkeliaran) dan burung (yang tidak bebas terbang).

Dalam kalangan pelawat zoo pelbagai usia, kita lihat ada yang menyenangkan pandangan kita seperti kelompok-keluarga yang berjalan dengan mesra dan damai.

Fikiran dan perasaan yang berfungsi dengan cara bersepadu menjadikan kita berasa tenang dengan pemandangan yang mesra dan permai itu.

Di satu sudut zoo pula, kelihatan satu adegan sukar diterima oleh jiwa kita. Tiga orang kanak-kanak yang tidak dipimpin dengan baik oleh orang tua mereka yang menjerit-menjerit dengan bahasa kesat dan mengacah-ngacah beberapa ekor haiwan zoo yang tidak bebas di seberang pagar.

Kita pun bermotivasi untuk mengingatkan anak-anak kecil itu supaya jangan berkelakuan demikian.

Sekali lagi fikiran dan perasaan berfungsi dengan cara bersepadu diikuti dengan cara yang bertamadun.

Sehubungan itu, kita juga sedar bahawa banyak zoo dalam dunia ini diuruskan tanpa nila-nilai kemanusiaan yang sepatutnya menjadi asas pengendalian kebajikan haiwan dan unggas yang diperangkap oleh manusia.

Bila kita mengaplikasi prinsip senario itu kepada kehidupan insan, kita akan melihat beberapa persamaan khususnya dalam masyarakat yang zalim.

Mergastua dan burung yang dikurung umpama manusia yang terkurung oleh kemiskinan serta kemangkiran kuasa. Pengunjung dan penjaga zoo umpama mereka yang berkuasa.

Mereka memastikan yang terbelenggu kemiskinan dan kemangkiran kuasa terus dikurung.

Samalah dengan teman-teman mereka yang menzalimi makhluk Tuhan dalam zoo untuk memuaskan nafsu serakah yang tidak terbendung.

Insan yang berego tinggi itu tidak dapat bergerak apabila melekat di sawang keujuban. Keujuban itu jugalah yang memudahkan insan bersengketa sesama sendiri serta hilang rasa keinsafan dan rendah hati."

***Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP