Pakej RM1 bilion mampu tarik pelabur asing

Akmal (dua,kiri) bersama Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse (dua,kanan) ketika melawat pasaraya B.I.G. di Medini Mall.
Akmal (dua,kiri) bersama Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse (dua,kanan) ketika melawat pasaraya B.I.G. di Medini Mall.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pengumuman kerajaan untuk menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bagi menarik syarikat Fortune 500 dan 'global unicorn' dilihat satu inisiatif yang mampu menjadi pemangkin pelaburan asing ke Johor.

Ketua Pegawai Operasi Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Akmal Ahmad berkata, kemasukan lebih banyak pelabur ke Johor dapat merancakkan lagi ekonomi.

"IIB bersama dengan pihak-pihak lain boleh jadikan insentif itu sebagai penarik kepada pelabur-pelabur asing ke Johor Bahru khususnya di Iskandar Puteri untuk mereka melabur di sini.

"Insentif ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan asing itu malah akan memberi peluang pekerjaan kepada orang tempatan selain manfaat kepada sektor perumahan dan pendidikan di negeri ini sekaligus merancakkan ekonomi negeri," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Pasaraya Ben's Independent Grocer (B.I.G.) di Medini Mall semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan dalam Belanjawan 2020, kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 5 tahun bagi menarik syarikat Fortune 500 dan 'global unicorns' dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu.

Syaratnya, setiap syarikat perlu melabur sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia di mana katanya, insentif itu akan menjana aktiviti ekonomi tambahan selain mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, masih banyak ruang untuk pihaknya, syarikat swasta lain dan kerajaan negeri untuk mempromosi negeri ini kepada pelabur.

"Iskandar Puteri ini masih ada ruang untuk kita usahakan di mana semua pihak sama ada swasta mahupun kerajaan negeri perlu terus berusaha mempromosikan Iskandar Puteri dan Johor.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya banyak pelabur yang tidak tahu keunikan Johor terutama syarikat teknologi ini. Apabila kita jelaskan, mereka tertarik dan banyak pertanyaan mereka kemukakan kerana kita tawarkan penyelesaian kos yang paling efektif.

"Mereka tahu nak sewa pejabat dan kos lain tinggi di Singapura jadi apabila kita terangkan tentang Johor mereka berminat kerana mereka dapat kurangkan kos dan secara langsung, margin mereka tinggi," katanya.

Katanya, Johor juga memiliki pelbagai institusi kemahiran bagi melatih pekerja-pekerja mengikut keperluan termasuk kemahiran yang spesifik diperlukan industri tertentu.