Bantah pembinaan loji penapisan minyak

A
A
A
LUMUT - Lebih 100 individu melibatkan penduduk dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun bagi membantah pembinaan loji penapisan minyak yang dibimbangi menjejaskan alam sekitar dan nelayan berhampiran kawasan pantai Segari di sini hari ini.

Pembinaan kompleks petrokimia dan loji pemprosesan minyak petroleum melibatkan kawasan seluas 1,200 hektar tanah dan pantai termasuk sebahagian kawasan peranginan Kampung Teluk Senangin akan diambil alih bagi menjayakan projek itu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Perak, Mansor Yusof berkata, hampir 5,000 nelayan melibatkan kawasan Manjung Utara dan Selatan serta Pulau Pangkor akan menerima kesan terhadap pelaksanaan projek itu.

“Kawasan Teluk Senangin, Tanjung Hantu sehingga ke kawasan utara Manjung merupakan kawasan kaya dengan spesis ikan, udang, ketam dan sebagainya malah ia merupakan kawasan paling tinggi pendaratan ikan.

“Bila adanya projek ini, pasti banyak masalah akan berlaku dan sudah tentu nelayan terutama nelayan pantai menerima kesannya apabila mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil laut. Kami tidak menolak pembangunan sebaliknya jangan korbankan hak kami dalam mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Selamatkan Kawasan Nelayan dan Pantai Pendaratan Penyu Segari di Teluk Senangin di sini hari ini.

Mansor berkata, pembinaan kompleks yang melibatkan tambakan pantai, jeti dan aktiviti perkapalan besar akan menghalang nelayan mengakses kawasan tangkapan.

Sementara itu, Pengusaha Chalet, Yahaya Mat Jani turut menyokong himpunan itu setelah melihat kesan projek mega berasas besi itu telah menjejaskan industri pelancongan di Teluk Batik.

Katanya, kehadiran pelancong di Teluk Senangin mula meningkat sejak tiga tahun selepas pengunjung tidak menyenangi dengan pemandangan yang disajikan.

“Saya bertanyakan kepada mereka kenapa datang sini, rata-rata mereka beri jawapan serupa, air di kawasan pantai lain sudah tidak bersih lagi.
Artikel Berkaitan:


“Teluk Senangin menjadi pilihan apabila masih mengekalkan hutan semula jadinya selain mudah mendapatkan hasil laut segar dari nelayan sesuai dengan namanya sebagai pantai rakyat," katanya.

Menurutnya, terdapat lebih 20 chalet yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Dalam pada itu, gabungan NGO alam sekitar dikenali sebagai Rakan Segari menuntut jaminan bertulis daripada kerajaan negeri berkaitan pendirian menolak cadangan pembinaan loji berkenaan.

Wakilnya, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, lokasi terlibat merupakan satu-satunya pantai pendaratan penyu agar dan penyu karah di jajaran pantai barat semenanjung Malaysia.

“Pembinaan loji ini tidak sesuai dengan peraturan perancangan pembangunan negara kerana bertindih dengan zon kawasan alam sekitar tahap 1 dan 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara.

“Sebarang aktiviti pembangunan tidak boleh dijalankan melainkan penyelidikan dan ekopelancongan terkawal. Hutan berhampiran juga kaya dengan kepelbagaian bio dan spesies haiwan dan tumbuh- tumbuhan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ada mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan media.

“Kami menghargai apa yang dinyatakan menteri besar tetapi kenyataan itu secara umum dan tiada kenyataan bertulis yang diedarkan. Itu bukan satu jaminan kawasan ini tidak akan dilakukan projek berkenaan.

“Kami mahukan satu jaminan secara bertulis daripada kerajaan negeri yang projek ini dibatalkan (cadangan projek tidak akan diteruskan) dan sebelum ini kami sudah hantar pelbagai usul (berkaitan penolakan cadangan projek) tetapi tiada maklum balas," katanya.

Pada himpunan itu, Meor Razak telah menyerahkan memorandum bagi menyatakan pendirian Rakan Segari yang menolak cadangan pembinaan loji berkenaan kepada wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri.

Meor Razak berkata, bantahan itu turut melibatkan kawasan latihan tentera seluas 8 hektar di Hutan Liput Pasir Panjang.

“Ada lebih 80 pokok dalam kawasan latihan itu sudah ditanda untuk ditebang.

"Apabila kawasan itu menjadi kawasan latihan tentera pasti ia menjadi kawasan larangan dan selepas ini tiada aktiviti lagi boleh dijalankan di situ seperti penanaman pokok," katanya.