Kreatif bergaya dengan batik

Hasliza Abdul Hamid, 35, bersama dua orang anaknya mamakai pakaian batik ketika program 'Batik Fun Walk 2019' di Balai Seni Negara hari ini. -Foto Bernama
Hasliza Abdul Hamid, 35, bersama dua orang anaknya mamakai pakaian batik ketika program 'Batik Fun Walk 2019' di Balai Seni Negara hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak lebih 10 tahun lalu Batik Fun Walk merupakan acara tahunan sangat dinantikan Jenny Lee yang mahu menampilkan rekaan terbaharunya dengan menggunakan kain batik dan bahan kitar semula.

Malah warga emas berusia 63 tahun itu pasti akan mengenakan rekaan serba batik daripada hujung rambut ke hujung kaki dengan kreativitinya yang sering mencuri tumpuan pengunjung dan peserta acara riadah itu.

Kali ini beliau tampil mengenakan tudung batik berwarna-warni selain menjinjing beberapa beg membeli-belah yang diperbuat daripada kain batik terpakai dan bahan kitar semula seperti tin, botol dan surat khabar lama.

"Setiap tahun saya akan memikirkan rekaan berlainan untuk digayakan ketika Batik Fun Walk dan mengambil masa kira-kira enam bulan sehingga setahun bagi menyiapkan hasil kreativiti saya.

"Walaupun kadang-kala dianggap pelik saya bangga kerana selain dapat beriadah bersama keluarga dan orang ramai saya turut mempromosi keunikan seni batik tempatan yang kian dilupai generasi muda pada masa sekarang," katanya kepada Bernama.

Lee merupakan antara 3,050 peserta yang memeriahkan Batik Fun Walk 2019 anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) yang turut disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

Larian sejauh 3.8 kilometer bermula di Balai Seni Negara dan melalui jalan sekitar Tasik Titiwangsa di ibu negara itu dilancarkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dewa dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Leela berkata, acara beriadah yang memasuki edisi ke-17 itu adalah antara usaha untuk mempromosi batik Malaysia dan gaya hidup sihat dengan gaya kreativiti masing-masing.

"Selain itu yuran penyertaan sebanyak RM35 akan disalurkan kepada yayasan kami atas keprihatinan kepada pesakit kanser dan keluarga mereka.

“Misi utama kami adalah untuk membantu semua pesakit kanser dan keluarga mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan lebih baik," katanya. - Bernama