'Bukan pegang skrol tapi sekujur tubuh berkain putih'

Status Facebook Ahmad Harits tular di media sosial.
Status Facebook Ahmad Harits tular di media sosial.
A
A
A

"HARI itu (10 Oktober) tangan saya seharusnya menggenggam skrol. Namun, hanya sekujur tubuh yang sejuk berkain putih yang menjadi ganti." Demikian luahan Ahmad Harits Mohd Zamrin, graduan Universiti al-Azhar Mesir apabila sayu memegang jenazah anak saudaranya yang baru berusia empat hari.

Anak pasangan Muhammad Ihsan dan Siti Hajar Mohd Zamrin yang diberi nama Adam Munib Muhammad Ihsan itu dilahirkan pada jam 4.30 pagi waktu Mesir, 7 Oktober lalu.

Katanya, ketika menyambut bayi sulung milik pasangan itu, Ahmad Harits berada di hospital bersama isteri, anak-anak serta rakan adiknya (Siti Hajar).

"Saya, isteri dan anak-anak serta beberapa kawan Siti Hajar ada pada hari Adam dilahirkan.

"Kami menemani Hajar dan Ihsan sepanjang berada di wad hospital menunggu putera sulung mereka lahir ke dunia.

"Saya menjadi saksi betapa gembiranya sang ayah apabila merangkul anaknya. Syahdu sungguh suasana di bilik itu apabila Adam diazankan di telinganya. Kegembiraan memenuhi hati-hati kami," luahnya di Facebook hingga status itu tular di media sosial.

Pada 9 Oktober, kata Ahmad Harits, anak saudaranya itu ditahan wad jam 4 pagi kerana bacaan kuning bayi itu tinggi.

"Petang hari yang sama, sekitar jam 7 malam, si bapa (Ilham)melawat Adam. Doktor khabarkan bahawa Adam kena jangkitan dan ada beberapa masalah lain. Kata doktor, peluang untuk hidup tipis.

Artikel Berkaitan:

"Esok, jam 6 petang baru boleh melawat, pesan doktor," katanya telah menamatkan pengajian selama empat tahun.

Usai menerima berita itu, mereka pulang ke rumah sebelum mengambil kedua ibu bapanya yang baru tiba di lapangan terbang Kaherah jam 2 pagi.

Pada tarikh 10 Oktober, bermulalah saat duka, hiba apabila keluarga ini mengetahui Adam telah meninggal dunia.

"Ibu bapa datang ke sini untuk melihat cucu kesayangan selain meraikan hari konvokesyen.

"Kami bawakan mereka untuk melihat cucunya di hospital namun setibanya di sana, jururawat menahan kami.

"Hanya boleh melihat bayi atas kebenaran doktor. Saya dan Ihsan naik ke tingkat atas.

"Bertanyakan doktor di mana, doktor dikatakan dalam perjalanan, dalam 10 minit akan sampai, kata pegawai yang bertugas," katanya.

Dalam menunggu kehadiran doktor, tiba-tiba doktor menghampiri dan memaklumkan anak kepada Siti Hajar dan Ilham telah meninggal dunia.

Terkejut dengan perkhabaran itu, Ilham sekali lagi bertanyakan soalan kepada doktor tersebut.

"Mati? betul ke anak kami?

"Ya, anak kepada Siti Hajar kan? Ya ALLAH... Bila dia mati? Kenapa tak maklumkan kami?"

"Sekitar Subuh, mungkin jam 5 atau 6 pagi," luahnya sambil melihat jam ketika itu 8.30 pagi.

Dalam nada kekesalan, Ahmad Harits memeluk Ilham dan maklumkan berita duka itu kepada kedua ibu bapanya.

Pastinya berita itu sungguh mengejutkan keluarganya tambahan pula kelewatan pihak hospital maklumkan berita kematian si comel itu.

Meskipun reda dengan pemergian anak syurga itu, keluarga Ilham dan Ahmad Harits masih kesal terhadap pengurusan pihak hospital dalam mengendalikan kes tersebut.

"Saya melihat besarnya hati ayah yang mengucapkan 'Jazakallahu hairal jazak' sambil bersalam dengan doktor.

"Walaupun saya tahu, dia merasakan ada banyak perkara yang tak kena berlaku. Kami reda. Takdir Tuhan tiada yang boleh menghalang. Namun, sebagai manusia kita disuruh untuk berusaha sebaik mungkin," katanya.