Kerajaan PH bentang 'Belanjawan PRU' setiap tahun: Guan Eng

Guan Eng ketika berucap pada Konvensyen DAP Pahang hari ini.
A
A

BERA - Belanjawan 2020 disifatkan sebagai belanjawan pilihan raya umum (PRU) berikutan ia dilihat begitu terperinci dan mencakupi semua peringkat akar umbi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyediakan belanjawan untuk semua peringkat rakyat akan diteruskan bukan semata-mata demi memenangi pilihan raya umum (PRU).

Menurutnya, pada keseluruhan belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu mendapat maklum balas positif rakyat.

"Ada salah seorang pemimpin PH beritahu kepada saya, ini (Belanjawan 2020) macam belanjawan PRU sungguhpun tiada pilihan raya kerana ia begitu terperinci, macam mana kita hendak gerakkan ekonomi, bantu rakyat dan pastikan matlamat kemakmuran bersama dapat dinikmati rakyat.

"Saya jawab, kalau kerajaan dahulu hanya buat sebegini bila ada pilihan raya, kita kena buat perubahan, buat satu anjakan minda iaitu belanjawan pilihan raya kalau boleh buat tiap tahun-tahun.

"Jangan hanya sekadar bila nak dekat pilihan raya baharu buat sedemikian tapi semua tahu pilihan raya masih jauh, namun sungguh pun masih jauh, kita kena berusaha buat perubahan yang dijanjikan walaupun sukar perlu mencuba. Berjaya atau tidak itu perkara lain," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sedemikian ketika ucapan sempena Konvensyen DAP Pahang di Bangunan DAP, Triang hari ini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Pahang,Leong Ngah Ngah dan Timbalannya,M.Manogaran.

Mengulas mengenai Belanjawan 2020 mendapat respons negatif daripada pembangkang, Guan Eng menegaskan, situasi itu berlaku kerana pembangkang tidak pernah bertindak demikian semasa menjadi kerajaan.

"Pada siaran langsung di Parlimen ketika saya bentangkan belanjawan pada awalnya mereka (pembangkang) bersikap begitu agresif namun selepas habis ucapan, semuanya lari menghilangkan diri kerana mereka lihat tidak dapat jawab usaha yang kita cuba buat, bantu rakyat," katanya.

Katanya, Belanjawan 2020 turut menyaksikan peruntukan diberikan kepada semua institusi agama, imam, bilal, tok siak dan lain-lain.

"Elaun (guru) Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pun kita naikkan, peruntukan untuk semua jenis sekolah pun kita cadangkan (dinaikkan).

"Kita harap kalau boleh tiap tahun kerajaan Persekutuan dapat bentangkan belanjawan seperti ini dan menjadikan negara kita sebagai negara berpendapatan tinggi secepat mungkin," katanya.