Peruntukan belia: MBM akan runding dengan Syed Saddiq

Jufitri menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Skuad MEPS: Menggerak Pengguna Siswa di Universiti Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Jufitri menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Skuad MEPS: Menggerak Pengguna Siswa di Universiti Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Majlis Belia Malaysia (MBM) akan berunding dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mendapatkan peruntukan kepada pergerakan belia.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, peruntukan itu amat penting untuk menggalakkan penyertaan belia dalam pergerakan belia.

Menurutnya, pada pembentangan Belanjawan 2020, tidak disebutkan secara jelas peruntukan kepada pergerakan belia tetapi diberikan kepada Kelab Pemuda Belia (YPC) dan Malaysian Future Leaders School (MFLS) dan kesukarelawanan.

"Kita tidak ada masalah untuk pemberian peruntukan kepada YPC tetapi paling penting adalah peruntukan kepada pergerakan belia supaya kita boleh galakkan lebih ramai lagi belia menyertai pergerakan belia

"Kita akan adakan rundingan dengan menteri untuk mendapatkan bajet kepada pergerakan belia supaya kita dapat mainkan peranan secara lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Skuad MEPS: Menggerak Pengguna Siswa di Universiti Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM, Ahmad Shah Mohamad Salleh.

Jufitri berkata, pihaknya mahu pada masa depan program-program belia dilaksanakan pergerakan belia dan bukan pihak kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada polisi-polisi berkaitan belia.

Artikel Berkaitan:

"Biar kita hak upayakan dengan bantuan-bantuan supaya pergerakan belia dapat melaksanakannya program belia bukan lagi kerajaan.

"Mungkin pada masa akan datang kita hanya perlu ada suruhanjaya belia tak perlu kementerian belia, boleh jimat dah di situ," katanya.

Sementara itu, mengenai pelancaran Skuad MEPS, beliau berkata, program tersebut merupakan pembangunan kapasiti bagi melatih mahasiswa cakna terhadap isu kepenggunaan.