KBS komited bangunkan e-sukan di Sabah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan melakukan beberapa perancangan termasuk mempertingkatkan peruntukan untuk membangunkan sukan elektronik (e-sukan) di negeri ini.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata, kementerian itu komited untuk membangunkan sukan berkenaan memandangkan e-sukan sudah menjadi industri yang menguntungkan.

"Oleh itu kini KBS akan mengutamakan e-sukan dengan menggalakkan lebih banyak penganjuran dan penyertaan khususnya golongan belia dalam sukan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Grand Final Gen Y Centre Cup E-Sport Tour Sabah 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, zaman telah berubah dan masyarakat perlu melihat e-sukan sebagai sukan baharu yang boleh menjana ekonomi negara.

"Kita mahu e-sukan menjadi satu industri yang selari dengan industri lain kerana sekiranya kita berjaya membangunkan e-sukan, seterusnya dapat menganjurkan satu kejohanan yang besar sudah semestinya ia menjadi pelancongan e-sukan yang menguntungkan," katanya.

Phoong berkata, untuk memastikan e-sukan berkembang di negeri ini, KBS telah membuat keputusan akan mempertandingkan e-sukan pada Sukan Sabah (SAGA) penghujung tahun ini.

"Pemenang yang akan memenangi acara itu akan mewakili Sabah dalam peringkat yang lebih tinggi...kita mahu menghasil ramai pemain e-sukan di Sabah," katanya.

Mengulas mengenai Gen Y Centre Cup E-Sport Tour Sabah 2019, Phoong berkata, 480 peserta dari seluruh Sabah menyertai acara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tiga permainan yang dipertandingkan dalam acara ini iaitu Mobile Legend, PUBG, dan Tekken 7. Saya mengucapkan syabas kepada penganjur utama Gen Y Centre kerana buat julung-julung kalinya dapat menganjurkan pertandingan e-sukan terbesar di Sabah setakat ini. Kita mahu banyak lagi kejohanan seperti ini selepas ini bagi mencungkil lebih ramai pemain berbakat dalam e-sukan," katanya. - Bernama