Perang dagang AS-China, Malaysia ambil pendekatan berkecuali

Atur cara simbolik penyerahan cenderahati sambutan hubungan perdagangan Malaysia-China pada pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China di Kuantan hari ini.
Atur cara simbolik penyerahan cenderahati sambutan hubungan perdagangan Malaysia-China pada pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China di Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan menegaskan tidak akan terikut-ikut dengan perang dagang diisytiharkan Amerika Syarikat terhadap China sebaliknya akan terus mengukuhkan hubungan dengan negara republik itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, China adalah rakan dagangan nombor satu Malaysia dan pada masa sama negara ini juga tidak memusuhi Amerika Syarikat.

"Biarlah Amerika lancarkan perang dagang. Kita tak mahu ikut. Kita mengambil pendekatan berkecuali kerana dalam beberapa perkara kita dapati China memberi kerjasama yang sangat baik terhadap Malaysia.

"Sebagai contoh mengenai rundingan semula projek ECRL (Laluan Keretapi Pantai Timur) yang mendapat persetujuan oleh negara itu. China setuju dan kita berjaya berunding dengan baik.

"Apabila kita berhadapan dengan boikot Eropah terhadap mintak kelapa sawit, kita meminta China membeli lebih banyak dan mereka sudi tambah pembelian," katanya pada sidang media Majlis Pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia - China di Indera Mahkota di sini hari ini.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Hong Kong untuk tidak berada di lokasi-lokasi panas ekoran penunjuk perasaan melakukan demonstrasi jalanan pada masa kini.

"Kita memantau perkembangan di Hong Kong. Kita cuma nasihat rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan mengelak daripada berada di lokasi demonstrasi. Ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan berniaga di sana," katanya.

Dalam perkembangan lain, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia China Negeri Pahang, Datuk Andy Chiew Yoke Theng mahu memastikan hubungan dagangan Malaysia China akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mencadangkan kerajaan meningkatkan program kesedaran masyarakat terhadap penggunaan dan pembangunan E-Wallet yang membolehkan pengguna membeli tanpa tunai di mana-mana pasar raya seluruh negara.

"Penggunaan mekanisme E-Wallet sudah lama wujud di China sebaliknya Malaysia masih belum meluas. Kita harap kerajaan membawa masuk teknologi digital ini untuk kemajuan rakyat," katanya.