Mahu wanita jadi ketua kampung: Rina

Rina bersalaman bersama peserta pada Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara di Pulau Pinang.
Rina bersalaman bersama peserta pada Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara di Pulau Pinang.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar mahu lebih ramai golongan wanita terutamanya di kawasan luar bandar diangkat menjadi pemimpin termasuk menjadi ketua kampung seterusnya menjadi pembuat keputusan di peringkat komuniti.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kerajaan tidak pernah meninggalkan kepentingan wanita dalam apa sahaja pelan perancangan malah menyedari perlunya strategi dan fokus diberikan kepada kaum wanita di luar bandar.

Menurutnya, setakat ini populasi wanita di luar bandar merangkumi sebanyak 47.8 peratus daripada 7.8 juta penduduk luar bandar.

"Seramai 17,001 atau 24 peratus orang ahli MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) terdiri daripada kaum wanita.

“Ada wanita yang diangkat menjadi menteri dan Exco kerajaan negeri mengapa pula tidak boleh jadi ketua kampung untuk menerajui komuniti mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Rina berkata, penganjuran seminar itu adalah platform terbaik untuk kerajaan memberi pendedahan kepada golongan wanita.

Katanya, seminar yang diadakan di setiap zon itu adalah program tumpuan di bawah teras wanita yang bertujuan mengoptimumkan kapasiti dan kadar guna tenaga wanita.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, seramai 819 wanita menjadi Ketua Kampung daripada 15,441 MPKK seluruh negara bahkan paling muda berusia 19 tahun yang ia sesuatu perkara harus dibanggakan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Rina menggesa usahawan wanita di luar bandar yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar berbuat demikian bagi membolehkan perniagaan memperoleh banyak manfaat pada masa hadapan.

Ini kerana pihaknya mendapati kebanyakan usahawan wanita di luar bandar enggan berdaftar atas beberapa faktor antaranya mahu terus menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diberikan kerajaan.

“Usahawan wanita perlu sedar betapa pentingnya mereka untuk berdaftar dengan SSM untuk memperoleh banyak manfaat dan memajukan perniagaan ke arah lebih baik.

“BSH pula biarlah diberikan kepada mereka yang layak dan usahawan wanita yang berdaftar dapat memperoleh lebih daripada itu,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 84,000 usahawan wanita yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan direkodkan berdaftar dengan SSM.

Daripada jumlah itu, hanya 21 peratus sahaja usahawan wanita dari luar bandar yang berdaftar dan memerlukan program kesedaran dipergiatkan bagi mencapai sasaran 50 peratus menjelang 2020.