Kerajaan belum respons larangan import minyak sawit: Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika tiba untuk sidang media di Pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi hari ini.
Dr Mahathir ketika tiba untuk sidang media di Pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Kerajaan masih belum bercadang untuk memberikan sebarang respons terhadap laporan berita berkaitan negara India yang merancang mahu melarang pengimportan minyak sawit daripada Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada ketika ini Malaysia perlu melihat tindakan selanjutnya daripada negara berkenaan.

"Kita akan kaji kesan yang akan diambil oleh India. India juga menjual barang kepada kita. Jadi dalam trade ini bukan one way sahaja, two ways," katanya ketika sidang media di Pejabat Lembaga Pembangunan Langkawi hari ini.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia dan India perlu mengelak daripada menjadikan perkara itu sebagai perang perdagangan yang akhirnya akan merugikan.

Terdahulu sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan India bercadang melarang import produk Malaysia termasuk minyak sawit susulan kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan lepas berkaitan isu Jammu dan Kashmir.

Laporan itu menyatakan Tun Mahathir mendakwa India telah ‘menceroboh dan menduduki’ Jammu dan Kashmir dan meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen India lancar kempen #BoycottMalaysia

Dr Mahathir berkata, beberapa langkah bakal diambil bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Langkawi sebagai pusat tarikan pelancong yang bersih.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Langkawi sudah pun menjadi satu destinasi tarikan pelancong setanding 10 buah pulau lain.

"Ada cadangan untuk membersihkan Langkawi daripada kereta yang menggunakan petrol.

"Kita akan cuba kurangkan kereta yang menggunakan petrol dan digantikan kereta hybrid manakala pengangkutan awam seperti bas pula akan menggunakan tenaga elektrik," katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi merealisasikan hasrat penambahan pelancong, kebersihan persekitaran perlu diberikan keutamaan.

"Dari segi kemudahan pula, kita akan pastikan proses pergi balik ke Langkawi dipermudahkan," katanya.