Bekas ADUN Bukit Selambau meninggal dunia

Saadiah (kiri) ketika ditemui di rumahnya di Bukit Selambau.
A
A

BUKIT SELAMBAU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Datuk Badri Yunus, 81, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat masalah jantung kira-kira jam 6.15 pagi tadi.

Allahyarham yang juga merupakan bekas ADUN Tanjung Dawai pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan lebih 20 tahun.

Allahyarham turut terkenal dengan jasanya memperjuangkan nasib petani dan peladang khususnya di negeri Kedah.

Isterinya, Saadiah Osman, 71, berkata, suaminya dimasukkan ke hospital sejak Rabu lalu akibat masalah kesihatan dan dilaporkan tidak sedarkan diri kelmarin.

Dia berkata, sebaik sedarkan diri, suaminya meminta kari kepala ikan kesukaannya, namun masih dalam keadaan lemah serta memerlukan bantuan oksigen untuk pernafasan.

"Jam tiga pagi dia masih bersemangat bersembang dengan anak dan minta nak makan gulai kepala ikan jenahak," katanya.

Saadiah berkata, dia kemudian menerima panggilan pada jam 5.30 pagi dan sempat berada di hospital sebelum Badri disahkan meninggal dunia pada jam kira-kira 6.15 pagi.

Badri yang terkenal dengan sifatnya yang mesra rakyat serta sentiasa bersemangat tinggi pernah menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Merbok,

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sik, Ketua Penerangan Jaksa Pendamai, Ahli Jawatankuasa Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) serta pernah meneraju Persatuan Ibu Bapa dan Guru di beberapa buah sekolah sekitar daerah Kuala Muda.

Menurut Saadiah, biarpun telah lama meletakkan jawatan disandang, namun suaminya masih aktif memperjuangkan nasib petani sehingga ke akhir hayatnya.

Terbaharu, beliau menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Kedah yang berlangsung di Hotel Jerai Sungai Petani 26 September lalu.

Disebabkan jasa yang ditaburkan, Badri disegani kepimpinan baharu, malah menjadi rujukan dan khidmat nasihat pelbagai pihak.

Sementara itu, anaknya, Mohamad Shukur, 48, berkata, jenazah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau kira-kira jam 5 petang.