Majlis Daerah Pontian berpotensi dinaik taraf perbandaran: Zuraida

Zuraida (dua dari kiri) berbual bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Ramlee A Rahman (kanan) dan Nor Syazlan (kiri) dalam sebuah lawatan ke Bangunan Majlis Daerah Pontian hari ini. -Foto Bernama
Zuraida (dua dari kiri) berbual bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Ramlee A Rahman (kanan) dan Nor Syazlan (kiri) dalam sebuah lawatan ke Bangunan Majlis Daerah Pontian hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Majlis Daerah Pontian (MDP) berpotensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pontian dalam tempoh dua tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, ia berdasarkan kadar pungutan hasil cukai tahunan melepasi RM20 juta seperti disyaratkan dan jumlah penduduk di daerah berkenaan yang menghampiri 200,000 orang.

"Ketika ini kadar pungutan hasil Majlis Daerah Pontian adalah sebanyak RM37 juta setahun manakala jumlah penduduk seramai 180,000 orang.

"Insya-ALLAH saya lihat Majlis Daerah Pontian berpotensi dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Pontian dalam tempoh dua tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Majlis Daerah Pontian di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd Razak.

Zuraida berkata, berdasarkan taklimat yang disampaikan kepadanya hari ini beliau kagum dengan pembangunan Pontian yang terancang sekali gus membantu merealisasikan hasrat naik taraf berkenaan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Ampang itu berkata, lawatan beliau hari ini juga untuk meninjau pelaksanaan projek pembangunan di Tanjung Piai yang diluluskan kementeriannya seperti dimohon bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Zuraida berkata, antara projek tersebut merangkumi pembinaan medan selera di Kukup, penstrukturan semula laluan pejalan kaki di kawasan Parlimen itu dan pembinaan dewan serta taman permainan kanak-kanak Kampung Melayu Kukup. - Bernama

Artikel Berkaitan: