Johor rangka penambahbaikan di Pasir Gudang

Dr Sahruddin (tiga dari kanan) menyampaikan wang ihsan kepada mangsa pencemaran Sg Kim Kim hari ini.
Dr Sahruddin (tiga dari kanan) menyampaikan wang ihsan kepada mangsa pencemaran Sg Kim Kim hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor akan merangka penambahbaikan yang boleh dibuat di Pasir Gudang selepas mengetahui jumlah peruntukan sebenar untuk Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berhubung perkara itu.

"Kita akan berbincang dengan kementerian sebetulnya peruntukan untuk Johor berapa dan daripada situ baru kita boleh rangka apa penambahbaikan yang boleh dibuat di Pasir Gudang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Dewan Serbaguna Taman Mawar hari ini.

Dalam program Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 peringkat negeri Johor itu, seramai 740 orang mangsa pencemaran Sungai Kim Kim menerima wang ihsan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dr Sahruddin berkata, kesemua penerima merupakan mangsa yang menerima rawatan di hospital.

"Kita menyampaikan bantuan wang ihsan NADMA kepada 740 orang iaitu RM500 kepada mangsa yang masuk ICU dan RM200 kepada yang dimasukkan ke wad biasa.

"Saya harap kejadian Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang tidak terjadi lagi. Masyarakat kena peka dan bekerjasama bukan hanya individu tapi semua pihak supaya sebarang bencana dapat ditangani sebaik mungkin," katanya.

Mengulas soal rungutan sesetengah ibu bapa yang mendakwa anak mereka yang menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim tidak menerima wang ihsan, Dr Sahruddin tidak menolak kemungkinan akan ada fasa kedua selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin akan ada fasa lain. Yang penting di sini ialah kita mendapat senarai nama daripada NADMA dan Jabatan Kesihatan.

"Memang kadang-kadang ada penerima yang masuk ke hospital dan apabila kita cuba kesan tapi gagal," katanya.