Dua rakan mengaku rompak pemandu e-hailing

A
A

KUALA LUMPUR — Dua rakan masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak dua pemandu perkhidmatan e-hailing bersenjatakan sebilah pisau, tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan terhadap R Nanthakumar, 33 dan C Komagan, 41, bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman tersebut serentak bermula tarikh tangkap pada 11 Dis 2018.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas pemandu Ton Kwong Hong, 29, dengan mengambil dua telefon bimbit dan wang tunai RM150 yang keseluruhan bernilai RM2,000 menggunakan sebilah pisau di hadapan Flat San Peng, Dang Wangi pada 12.50 tengah hari, 2 Disember lalu.

Kedua-dua lelaki itu juga dituduh melakukan kesalahan sama terhadap pemandu Mohamad Aniff Azahari Hamidi, 29, dengan merompak dompet duit, dua telefon bimbit serta wang tunai RM400 yang keseluruhan berjumlah RM1,000 di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Pudu pada 2.20 petang, 4 Disember lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kekerapan kes jenayah samun namun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Mengikut fakta kes dalam dua kejadian itu kedua-dua tertuduh menyamar sebagai pelanggan dengan menggunakan aplikasi e-hailing untuk menempah kedua-dua perkhidmatan mangsa dan selepas menaiki kenderaan, mereka merompak mangsa dengan mengambil barang berharga. - Bernama