Kemusnahan hutan Amazon 10 kali ganda keluasan bandar New York

Kemusnahan hutan di Porto Velho, Rondonia State, Brazil.- Reuters
Kemusnahan hutan di Porto Velho, Rondonia State, Brazil.- Reuters
A
A
A

BRASILIA - Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon di dalam negara Brazil terus meningkat untuk bulan kelima berturut-turut pada September lalu iaitu sebanyak 93 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurut agensi penyelidikan INPE, kemusnahan hutan hujan tropika terbesar di dunia itu mencecah keluasan 7,854 kilometer persegi dari Januari hingga September.

Keluasan itu ibaratnya 10 kali ganda keluasan Bandaraya New York.

Bagi rekod September, data INPE menunjukkan aktiviti menggondol hutan meningkat sebanyak 96 peratus berbanding tahun lalu.

Dari segi keluasan, bulan September merekodkan tapak hutan seluas 1,447 kilometer persegi telah diratakan, sedikit kurang daripada rekod tertinggi seluas 2,255 kilometer persegi yang digondolkan pada Julai.

Para penyelidik dan aktivis alam menuding jari pada Presiden, Jair Bolsonaro kerana membuka Amazon untuk penebangan kayu balak atas alasan pembangunan selain melemahkan fungsi agensi alam sekitar Ibama.

"Kemusnahan hutan berterusan dari semasa ke semasa dan lebih meningkat berbanding tahun sebelum ini.

"Saya percaya ini ada kaitan dengan mesej disampaikan oleh Presiden Bolsonaro," kata penyelaras inisiatif pemetaan kemusnahan hutan MapBiomas, Tasso Azevedo.

Artikel Berkaitan:

Bolsonaro dan Menteri Alam Sekitar Ricardo Salles kerap mengatakan bahawa kerajaan terdahulu adalah punca kemusnahan hutan ini berlaku.

Penebangan hutan biasanya berlaku pada musim kemarau bermula Mei hingga September tetapi boleh berubah mengikut setiap tahun. - Reuters