DAP bukan parti keganasan: Anthony Loke

Loke Siew Fook (duduk, empat dari kiri) dan Lim Kit Siang (duduk, dua dari kanan) bertanya khabar isteri Gunasekaran, J Arul Merry (duduk, tiga dari kanan).
Loke Siew Fook (duduk, empat dari kiri) dan Lim Kit Siang (duduk, dua dari kanan) bertanya khabar isteri Gunasekaran, J Arul Merry (duduk, tiga dari kanan).
A
A
A

SEREMBAN - Menuduh DAP sebagai parti keganasan susulan penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu adalah berniat jahat.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sejak lebih 50 tahun parti itu ditubuhkan tiada mana-mana ahlinya yang pernah terlibat dengan keganasan.

"DAP parti yang sentiasa cintakan keamanan dan perjuangan kita selama ini berlandaskan secara aman dan hormati sistem demokrasi berparlimen.

"Parti kita juga tiada rekod keganasan dan kita tidak akan sesekali pilih keganasan untuk mencapai cita-cita," katanya pada sidang akhbar selepas melawat keluarga ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran di Kampung Baru Rahang di sini hari ini.

Gunasekaran ditahan Khamis lalu untuk siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Loke Siew Fook
Loke Siew Fook

Ditanya berkenaan penahanan dua lagi ahli parti itu di Melaka, beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut namun akan melihat sama ada ia ada kaitan dengan agenda politik atau tidak.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, jika berlaku sebarang salah laku melibatkan ahli parti itu, ia adalah tindakan berasingan dan tiada kaitan dengan DAP.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya yakin yang YB Gunasekaran adalah pemimpin yang baik dan dikasihi rakyat. Sebagai menteri, saya tidak mahu campur siasatan polis dan menghormati proses.

"Dari segi gerak kerja di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Seremban Jaya, tiada masalah kerana YB Gunasekaran mempunyai pasukannya dan buat sementara waktu akan dipantau Ahli Parlimen Rasah," katanya.

Sementara itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan memansuhkan memansuhkan SOSMA seperti mana yang dijanjikan PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jelas beliau, akta berkenaan sebelum ini pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan korapsi.

"Tahun lalu berlaku peralihan kuasa dan kita berjanji mahu wujudkan sebuah kerajaan yang seimbang dan telus. Sebab itu kita mahu polis juga ada perubahan sikap supaya selaras dengan manifesto kita.

"Saya yakin Gunasekaran tidak bersalah dan kita akan berusaha membantunya," katanya.